Rapper bertatu dari Thailand lafaz syahadah
SESUNGGUHNYA hidayah itu milik ALLAH SWT. Itulah yang berlaku terhadap seorang seorang penyanyi rapper Thailand yang dikenali sebagai Rahboy (RB) apabila baru-baru ini tular di media sosial sedang mengucapkan dua kalimah syahadah.
Menerusi perkongsian video yang dibuat oleh pengguna TikTok @themuslimuniverse, Rahboy atau RB dilihat mengucapkan kalimah itu dihadapan seorang lelaki.
Berdasarkan video muat naik tersebut, RB dilihat memakai pakaian serba hitam duduk bersila di hadapan seorang lagi lelaki berbaju putih dan memakai kopiah.
Lelaki itu kemudiannya membacakan syahadah sambil diikuti oleh RB beserta dengan maksudnya dalam bahasa Thailand.
Apa yang lebih menarik, lelaki yang mengajar RB juga dilihat memiliki tatu di beberapa bahagian badan dan mukanya.
“Rahboy (RB) Rapper penuh tatu dari Thailand ini memutuskan untuk memeluk Islam. Kebiasaanya dia gemar memakai rantai leher salib, kini dia memilih untuk memakai kopiah,” tulis kapsyen video berkenaan.
Bagaimanapun, bila dan dimana lokasi beliau mengucapkan kalimah syahadah itu tidak dinyatakan oleh perkongsian video tersebut.
Muat naik itu seterusnya telah mengundang pelbagai komen positif daripada pengguna media sosial tersebut. Antara komen yang ditinggalkan adalah:
“Hidayah milik ALLAH, bila DIA berkehendak walau siapa pun dan walau sebaik atau sejahat manapun seseorang itu, tiada yang boleh menghalang hidayah ALLAH”
“Walaupun ada tatu, air muka dia tenang dan bersih”
“Alhamdulillah, semoga terus istiqomah. Semoga dipermudahkan”
Ambil tahu dengan status tatu
Bagi golongan bukan Islam, mengukir tatu adalah perkara biasa dan mungkin juga sudah menjadi adat dan kelaziman bagi kaum atau etnik tertentu.
Apabila sudah memeluk Islam, timbul persoalan adakah amalan yang dilakukan mualaf bertatu itu sah di sisi syariat?
Menurut perkongsian dari pendakwah bebas, Ustaz Azhar Idrus, amal ibadah yang dikerjakan mualaf bertatu adalah sah berdasarkan beberapa pandangan ulama.
Tetapi lain pula jadinya jika orang Islam bertatu dan lalu mengerjakan amal ibadah hukumnya haram, dan wajib membuang tatu tersebut.
Adapun situasi jika membuang tatu tersebut boleh merisikokan nyawa, maka dibolehkan untuk tidak membuang tatu tersebut dan menyempurnakan ibadah.
Terdahulu, pelakon Adam Corrie Lee juga pernah ditanya persoalan yang sama sama ada solatnya sah atau tidak kerana ada yang melihat terdapat tatu ditangan pelakon mualaf ini.
Adam Corrie memberi maklumbalasnya di laman (X), dengan menyatakan amal ibadah yang dilakukannya adalah sah bagi mualaf (kerana bertatu sebelum memeluk Islam), dan tak wajib membuangnya jika memudaratkan diri.
Manakala haram hukumnya bagi orang Islam yang mencacah tatu di tubuh dan wajib membuangnya Tetapi jika membuang tatu akan memudaratkan diri maka tidak wajib membuangnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!