Dua beradik, pasangan berdepan hukuman gantung

Salah seorang tertuduh (kanan) dihadapkan di Mahkamah Majistret Johor Bahru pada Khamis.
Salah seorang tertuduh (kanan) dihadapkan di Mahkamah Majistret Johor Bahru pada Khamis.
A
A
A

JOHOR BAHRU – [DIKEMAS KINI] Dua beradik bersama suami masing-masing berdepan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup atas tiga pertuduhan mengedar dadah, minggu lalu.

Kesemua tertuduh, Siti Nurshafina Sottor, 24, serta suami, Afiq Aidi, 23 dan Siti Nurfatimah Sottor, 32 serta suami, Mohammad Raffi Yahya, 35 dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Rabu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan.

Pendakwaan terhadap kesemua tertuduh dilakukan di hadapan Majistret Hidayatul Syuhada Shamsudin, namun bagi Mohammad Raffi, pertuduhan dibacakan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, berikutan tertuduh sedang dirawat di Wad Isolasi kerana menghidap Covid-19 dan Tibi.

Berdasarkan tiga kertas pertuduhan itu, mereka bersama-sama didakwa mengedar kanabis seberat lebih 27.53 kilogram (kg), heroin (lebih 1.81kg) dan methamphetamine (lebih 1.94kg).

Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan kerana perbuatan (mengedar) kanabis di Taman Bestari Indah, Ulu Tiram di sini, sekitar jam 2 pagi, 19 September lalu.

Sehubungan itu, mereka berdepan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dihukum mati, mereka hendaklah disebat tidak kurang 12 kali sebatan, jika sabit kesalahan.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 29 Januari 2024.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, seorang lagi adik Siti Nurfatimah dan Siti Nurshafina; Muhammad Taufik Sallehudin Sottor, 30, didakwa bersama seorang lagi lelaki, Mohamad Zaidi Sani, 34, atas kesalahan mengedar methamphetamine dengan anggaran berat kasar 59.88 gram.

Atas kesalahan tersebut, mereka akan didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) ADB 1952.

Selain itu, mereka turut berdepan satu lagi pertuduhan iaitu memiliki kanabis seberat 14.81 gram.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 6 ADB 1952, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Dua perbuatan itu didakwa dilakukan di dalam rumah di Taman Puteri Wangsa, Ulu Tiram di sini, kira-kira jam 2.15 pagi, 19 September lalu.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 21 Disember depan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!