Penjual buah mati ditikam

Seorang lelaki warga emas maut selepas dipercayai ditikam oleh empat suspek dalam kejadian di hadapan sebuah rumah dua tingkat di kawasan Taman OUG, di sini petang Selasa. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Amihizam)
Seorang lelaki warga emas maut selepas dipercayai ditikam oleh empat suspek dalam kejadian di hadapan sebuah rumah dua tingkat di kawasan Taman OUG, di sini petang Selasa. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Amihizam)
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Empat lelaki warga asing ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes seorang penjual buah ditemui mati ditikam di hadapan sebuah rumah dua tingkat di Taman OUG, di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 7.40 malam.

"Sepasukan anggota digegaskan ke lokasi kejadian dan menemui beberapa kesan tikaman di bahagian badan serta muka mangsa yang berusia 80 tahun," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, saksi yang merupakan penyewa rumah memaklumkan mangsa kerap datang ke rumah tersebut yang dijadikan tempat menyimpan stok buah-buahan, sebelum menjualnya di pasar pagi.

"Hasil daripada risikan operasi yang dijalankan, kita menahan empat suspek berusia 29 hingga 53 tahun untuk siasatan lanjut dan motif pembunuhan masih dalam siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Beliau berkata, orang awam dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes ini.

"Maklumat lain berkaitan jenayah boleh disalurkan kepada Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berdekatan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!