MARDI jalan penyelidikan kurangkan import bawang

Mohamad Zabawi Abdul Ghani (dua dari kanan) bersama Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu (tiga dari kanan) ketika pelancaran tiga varieti bawang merah iaitu BAW-1, BAW-2 dan BAW-3 di Show Tech MARDI 2023.
Mohamad Zabawi Abdul Ghani (dua dari kanan) bersama Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu (tiga dari kanan) ketika pelancaran tiga varieti bawang merah iaitu BAW-1, BAW-2 dan BAW-3 di Show Tech MARDI 2023.
A
A
A

SHAH ALAM - Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) menjalankan penyelidikan penanaman bawang bagi membantu meningkatkan pengeluaran bawang negara dan mengurangkan kadar import yang tinggi.

Ketua pengarahnya, Datuk Dr Mohamad Zabawi Abdul Ghani berkata, ia adalah hasil kajian pengadaptasian dan penilaian melibatkan pengumpulan bahan genetik dari pasaran tempatan, syarikat biji benih dan agensi penyelidikan antarabangsa termasuk koleksi benih sedia ada hasil kajian terdahulu.

“Beberapa kajian berkaitan bawang telah dijalankan bermula 1970, melibatkan kajian varieti bawang pada 1974, kajian potensi bawang besar di tanah bris (1993), kajian keperluan nutrien bawang merah (1994) dan kajian bawang merah di tanah gambut (1998).

“Strategi kajian yang dijalankan membabitkan pembangunan teknologi pengeluaran bawang merah ke arah peningkatan produktiviti, adaptasi tanaman di tanah rendah, pengurangan masalah perosak, penyakit dan kerosakan lepas tuai serta pengukuhan pemasaran,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Jelas Mohamad Zabawi, proses itu juga melibatkan pengenalpastian varieti bawang tahan panas, bersesuaian dengan cuaca Malaysia bagi meningkatkan kecekapan pengeluaran biji benih atau bawang tempatan.

Sebelum ini, data daripada Akaun Pembekalan dan Penggunaan Komoditi Pertanian Terpilih Malaysia pada 2018 hingga 2022 merekodkan, Malaysia mengimport bawang merah segar iaitu besar, kecil dan putih dari India sebanyak 62 peratus, diikuti Belanda 15 peratus, China sebanyak sembilan peratus, Pakistan lapan peratus manakala Thailand, Mesir dan lain-lain negara masing-masing mencatatkan dua peratus.

Menurut data tersebut, jumlah import bawang pada 2022 melibatkan semua jenis (besar, kecil dan putih) berjumlah RM1,578.4 juta yang mencatatkan peningkatan sebanyak sembilan peratus (RM1,477.6 juta) berbanding 2021.

Ujar Mohamad Zabawi, pengawalan penyakit dan perosak secara kimia juga perlu bagi mengelakkan perebakan yang cepat sehingga menjejaskan hasil bawang.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, penggunaan satu racun kimia secara berulang akan menyebabkan tanaman menjadi rintang dengan racun kimia tersebut yang mana racun tersebut tidak lagi berkesan untuk mengawal perosak.

“Penggunaan racun kimia perlu dilakukan secara berselang-seli dengan beberapa racun kimia lain antaranya racun kulat yang mengandungi bahan aktif seperti propiconazole, tebuconazole atau benomil.

‘’Semburan racun kimia dilakukan sekali seminggu bergantung kepada tahap keterukan penyakit dan terdapat kesan serangan yang signifikan. Biji benih serta bebawang juga perlu dirawat dengan menggunakan racun kulat tiram sebelum ditanam,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!