Malaysia berkedudukan baik menerajui peluang ekonomi di ASEAN
KUALA LUMPUR - Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk menerajui peluang ekonomi dan perindustrian di rantau Asean melalui inisiatif yang digariskan di bawah Kerangka Ekonomi Madani, Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP 2030) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang berfungsi sebagai pemangkin untuk menarik pelaburan bernilai tinggi, kata Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong.
Sebagai pintu masuk ke Asean, beliau berkata, Malaysia dilengkapi dengan tenaga kerja yang mampu berbahasa Inggeris, iklim politik yang stabil, rangka kerja ‘Common Law’ yang mantap dan persekitaran perniagaan yang matang.
"Amat penting bagi rakyat Malaysia, kita mesti memacu pemindahan kemahiran dan pengetahuan, melahirkan pekerja berkemahiran tinggi dan pengagihan kekayaan yang lebih saksama dengan matlamat membina masyarakat kelas pertengahan yang lebih kukuh,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Economist Intelligence Corporate Network (EICN), dan disokong oleh Maybank sempena sesi mengenai Perdagangan dan Industri dalam Peralihan.
Chin Tong berkata, prospek pertumbuhan yang menjanjikan di rantau ini dan peningkatan kelas pertengahannya menyebabkan negara-negara anggota sangat menarik untuk dijadikan hab pengeluaran dan destinasi pasaran.
Beliau menambah trend mega global terhadap peralihan geopolitik, pendigitalan dan peralihan hijau juga telah memberi manfaat kepada Malaysia dan Asean.
"Sehubungan itu, ia adalah peluang bagi negara-negara Asean untuk bekerjasama mewujudkan rantaian bekalan serantau yang bersepadu bagi mencapai pertumbuhan perindustrian yang signifikan secara bersama,” katanya.
EICN berkata, Asean mencatatkan peningkatan aliran pelaburan langsung asing (FDI) yang stabil dalam beberapa dekad kebelakangan ini, menyumbang 17 peratus daripada jumlah aliran masuk FDI dunia pada 2022, naik dengan ketara berbanding 2.7 peratus pada 2002.
Ia berkata, Malaysia menarik FDI bernilai AS$16.9 bilion pada 2022, nilai tertinggi bersejarah yang melebihi angka 2021 sebanyak hampir 40 peratus (AS$1 = RM4.70).
"Purata AS$14.6 bilion untuk 2021-2022 berbanding purata tahunan AS$10 bilion pada 2010-an mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang menarik.
"Pertumbuhan perdagangan barangan global akan mula pulih menjelang awal 2024, dijangka menjadikan aktiviti kilang yang lebih kukuh di Asia, dengan aktiviti yang lebih rancak di China turut menyokong penghantaran bahan mentah dan barangan perantaraan yang diperoleh daripada tempat lain di rantau ini. Kitaran elektronik yang pulih juga akan membantu perdagangan global,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!