Biar rumah dipenuhi semak, wanita didenda RM150
KUALA LANGAT - [DIKEMAS KINI] Seorang wanita berusia 30-an didenda RM150 atau tiga hari penjara oleh Mahkamah Majistret Telok Datok di sini pada Rabu kerana membiarkan kediamannya dalam semak samun di Taman Seri Putra, Banting baru-baru ini.
Berdasarkan pertuduhan, dia selaku orang kena saman (OKS) didakwa membiarkan premis itu dalam keadaan tidak baik dan diliputi tumbuhan rimbun mengikut Seksyen 74 Akta Kerajaan Tempatan 1976.
Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Kanan Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL), Hasrizal Abd Rahim dan Pegawai Pendakwa, Ahmad Razali Abdul Manaf.
Sementara itu, MPKL mengingatkan semua pihak supaya memastikan kediaman berada dalam keadaan yang bersih dan teratur selain tidak menimbulkan kacau ganggu kepada jiran serta penduduk setempat.
Menerusi kenyataan dalam media sosial, MPKL berkata, tindakan akan diambil terhadap individu yang melanggar peraturan dan undang-undang yang ditetapkan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!