SPRM Kedah tahan pemilik syarikat logistik beri rasuah
ALOR SETAR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mereman seorang lelaki yang juga pemilik syarikat logistik kerana disyaki merasuah pegawai agensi penguat kuasa ketika melakukan aktiviti penyeludupan daging sejuk beku dari negara jiran.
Menurut sumber, suspek berusia 40-an itu dipercayai ditahan pada Selasa kira-kira jam 11 malam ketika diminta hadir ke pejabat SPRM Kedah.
"Perintah reman dikeluarkan selama tiga hari bermula Rabu sehingga 29 September ini oleh Majistret Nurshahida Abdul Rahim selepas pihak SPRM membuat permohonan tersebut di Mahkamah Majistret Alor Setar," katanya.
Sumber menambah, suspek dipercayai melakukan aktiviti penyeludupan daging sejuk beku menerusi pintu sempadan Bukit Kayu Hitam sejak awal tahun ini.
Sementara itu Pengarah SPRM Kedah, Rosley Mohamad Satar Ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16 (b)(B) Akta SPRM 2009.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!