Komen jelik terhadap PM, AMK Kelantan buat laporan polis
KOTA BHARU - Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kelantan pada Rabu sepakat membuat laporan polis berkaitan satu komen jelik di media sosial yang menghina Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Laporan dibuat melalui Ketua AMK Kelantan, Mohamad Ezzat Zahrim Mohd Hanuzi kira-kira jam 5.20 petang di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu.
Mohamad Ezzat berkata, komen jelik itu dikesan semasa beliau melayari Facebook sebuah stesen televisyen swasta kira-kira jam 11 pagi Rabu.
Menurutnya, komen bersifat fitnah itu ditinggalkan seorang pengguna Facebook pada hantaran video Perdana Menteri sedang menyampaikan khutbah Jumaat di Pusat Kebudayaan Islam New York.
"Kami percaya kenyataan dibuat mempunyai elemen jenayah iaitu penghinaan dan fitnah terhadap Perdana Menteri," katanya selepas membuat laporan polis.
Jelas beliau, komen itu boleh menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan dan boleh menggugat kestabilan negara selain mengakibatkan kebencian terhadap kerajaan.
"Kita juga memohon pihak berkuasa melakukan siasatan lanjut dan tegas ke atas pemilik akaun terbabit," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!