Fitnah, reka cerita cetus dosa berangkai dalam masyarakat - Khairuddin
SHAH ALAM - Perbuatan mencipta fitnah dan cerita rekaan terutama daripada pemimpin besar politik boleh mendorong kepada kesan tercetusnya pelbagai persepsi jahat serta dosa berangkai dalam kalangan masyarakat.
Timbalan Pengerusi Majlis Ulama UMNO, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, kebenaran tentunya memerlukan masa untuk diserlahkan namun dalam tempoh itu, ramai manusia akan membuat dosa ekoran berita fitnah yang disampaikan.
“Apabila pemimpin politik berjenama Islam di pentas politik di Pelangai dengan seronok dan penuh gembira mencipta fitnah kononnya ucapan Perdana Menteri di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-78 tidak ramai pendengar lalu diperlekehkan dan diejek.
“Penyampaian khutbah pun turut diejek, kemudian mencipta satu lagi fitnah ada setiausaha menteri ke Amerika Syarikat (AS) bermain golf ketika persidangan UNGA, tentulah ramai sama ada di bandar mahupun di pelosok kampung yang telah membuat pelbagai dosa mengumpat, mencerca dan menghina.
“Semuanya berpunca daripada satu berita bohong yang dicipta oleh pemimpin besar politik berjenama Islam,” katanya dalam kenyataan di Facebook pada Rabu.
Ujar beliau, mencipta fitnah dan cerita rekaan adalah satu dosa besar dalam Islam dan ia boleh menjadi berlipat ganda apabila disebarkan dari mulut ke mulut.
“Ia diviralkan di media sosial dan tentu dalam masa 24 jam sudah jutaan manusia mempercayainya lantas mengulas dengan pelbagai lagi tuduhan dan sangkaan jahat.
“Setelah dibetulkan maklumat yang salah itu, maklumat sebenar tentulah tidak akan sampai kepada semua yang telah menerima berita fitnah di awal tadi.
"Maka, kekal lah dosa fitnah menjadi berangkai dosanya. Itulah kesan fitnah yang mencipta dosa yang berangkai,” menurutnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!