[VIDEO] Nenek 92 tahun masuk sekolah buat kali pertama
LUCKNOW - Seorang warga emas di negeri Uttar Pradesh, India pergi ke sekolah buat kali pertama dalam hidupnya demi merealisasikan impiannya untuk pandai menulis dan membaca.
Lapor media tempatan, kisah Salima Khan yang berusia 92 tahun telah memberi inspirasi kepada ramai orang untuk melakukan perkara sama.
Salima dilahirkan pada 1931 dan berkahwin pada usia 14 tahun iaitu dua tahun sebelum berakhirnya pemerintahan kolonial British di India.
Nenek berasal dari Bulandshahr itu menjelaskan bahawa tiada sekolah di kawasan kampungnya ketika usia remajanya menyebabkan dia tercicir dalam pelajaran.
Difahamkan, Salima telah mengikuti sesi persekolahan bersama 'rakan sekelas' yang lapan dekad lebih muda daripadanya.
Kisahnya muncul selepas video dia mengira dari satu hingga 100 tular di media sosial.
“Oleh kerana saya tidak dapat mengira wang kertas, cucu selalu mengambil kesempatan dengan meminta wang saku lebih.
"Tetapi hari-hari itu sudah berlalu,” kata Salima.
Sementara itu, guru besar sekolah, Pratibha Sharma pada mulanya teragak-agak untuk mengajar Salima tetapi tewas dengan 'keghairahannya' untuk belajar.
"Kami tidak sampai hati untuk menolaknya," jelas Sharma.
Sejak Salima bersekolah, 25 wanita dari kampungnya juga telah memulakan kelas celik huruf termasuk dua menantu perempuan, kata Sharma kepada media. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!