'Bantulah suami saya dengan ikhlas'
GUA MUSANG - "Siapa yang ikhlas, datanglah bantu suami saya. Saya tak tahan melihat penderitaannya," kata isteri kepada pesakit kanser lapisan kulit di Kampung Lembaga, di sini.
Menurut Siti Fatimah Nor Abdul Rahim, 36, sejak empat tahun lalu, suaminya, Mohd Faizal Che Leh, 40, menderita penyakit berkenaan yang awalnya tidak disangka sebagai kanser.
Katanya, sebelum ini, suaminya menjalani pembedahan membuang mata kiri, kerana sel kanser berkenaan sudah mencecah di mangkuk mata.
"Kini, kanser berkenaan sudah menghala ke otak dan menyebabkan derita suami bertambah. Dia tidak boleh makan dan minum melalui mulut kerana dipenuhi ulser.
"Tidak hanya bergantung kepada rawatan hospital, saya mengalu-alukan sesiapa sahaja yang mampu membantu kami untuk proses penyembuhan.
"Saya kasihan melihat suami begini malah sel berkenaan telah membuatkan bahagian kepala kirinya mula membengkak," katanya.
Tambah Fatimah, sebelum ini Sinar Harian telah melaporkan kisah suaminya pada awal tahun ini.
"Selepas siaran itu, saya dihubungi beberapa pihak untuk membantu. Namun, mereka mengenakan pengeras sekiranya berjaya mengubati suami saya.
"Mana saya nak cari duit untuk pengeras sedangkan saya menguruskan keluarga dengan pendapatan sebagai guru KAFA sahaja dengan gaji sekitar RM800 sebulan.
"Setiap bulan, saya memerlukan RM1,000 untuk keperluan khas suami termasuk rawatan dan susu khas. Anak-anak lagi yang masih bersekolah," katanya yang turut menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Sesiapa yang ingin membantu, boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank milik Siti Fatimah, 153047914551.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!