JDT juara Liga Super kali ke-10 berturut-turut
SKUAD Johor Darul Ta’zim (JDT) memahat sejarah baharu bola sepak tanah air apabila muncul juara Liga Super buat kali ke-10 berturut-turut setelah menewaskan PDRM FC, 4-0, di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, sebentar tadi.
Kemenangan berkenaan turut menyaksikan skuad Harimau Selatan itu gah di puncak Liga Super dengan 64 mata dengan berbaki empat perlawanan.
Aksi seimbang dipamerkan kedua-dua pasukan sebaik wisel permulaan dengan menyaksikan beberapa asakan dilancarkan ke gawang lawan masing-masing dalam usaha membuka jaringan.
Bagaimanapun, asakan-asakan berkenaan dilihat gagal menepati sasaran selain berjaya dikekang benteng pertahanan.
Gol berkenaan nyata menyemarakkan lagi semangat kesebelasan skuad Harimau Selatan itu untuk mengasak ke kubu pelawat dalam usaha menambah jaringan.
Ternyata, JDT tidak perlu menunggu lama apabila hanya dua minit berselang, gawang PDRM bocor lagi dan kali ini giliran Juan Muniz menjaringkan gol kedua pada minit ke-39.
Kesebelasan JDT bagaimanapun dilihat gagal menambah jaringan selepas itu dan sekali gus menyaksikan kedudukan perlawanan kekal hingga tamat babak pertama.
JDT mula menggandakan asakan pada babak kedua dan menyaksikan beberapa percubaan hampir menepati sasaran.
Pemain sayap lincah, Arif Aiman Mohd Hanapi, kemudiannya menggamatkan stadium pada minit ke-54, apabila menyempurnakan sepakan penalti untuk gol ketiga, skuad Harimau Selatan itu.
Pemain gantian, Fernando Forestieri, kemudiannya menjadikan kedudukan 4-0 apabila menjaringkan gol pada minit ke-57.
Arif Aiman sekali hampir menjaringkan gol pada minit ke-61, namun rembatannya tepat ke tiang gol sebelum dikeluarkan pertahanan pelawat.
Di penghujung perlawanan menyaksikan tiada tambahan jaringan berjaya dihasilkan kedua-dua pasukan dan sekali gus menyaksikan kedudukan 4-0, memihak JDT, kekal hingga ke wisel penamat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!