Projek benih padi M297 disasar capai SSL 21 peratus
SHAH ALAM - Kerajaan Negeri Melaka menyasarkan cadangan pembangunan projek perintis penghasilan benih varieti padi M297 dapat mencapai peningkatan tahap sara diri (SSL) kepada 18 hingga 21 peratus pada tahun hadapan.
Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, cadangan tersebut dilihat sebagai langkah jangka masa panjang bagi memastikan pesawah memperoleh hasil padi yang berkualiti sekali gus mengurangkan kebergantungan rakyat terhadap beras import.
“Daripada hasil kita mungkin sembilan peratus sahaja untuk negeri Melaka. Untuk tahun depan kita sasarkan, boleh jadi 18 peratus, 21 peratus sekurang-kurangnya.
“Macam-macam kajian dah dilakukan untuk pengeluaran benih beras yang lebih berkualiti dan hasilnya berlipat kali ganda, tetapi masalah yang timbul adalah semua benih itu tidak dapat kepada pesawah.
“Insya-ALLAH di Melaka, kita akan wujudkan tapak penanaman benih padi 297 kita sendiri untuk digunakan oleh pesawah dalam negeri Melaka,” katanya dalam siaran di Facebook beliau pada Rabu.
Terdahulu beliau mengadakan lawatan di tapak kajian penuaian padi Penuaian Padi Projek Penyelidikan Pakej Agronomi Padi Varieti MR297.
Turut hadir Pengarah Pusat Penyelidikan Padi dan Beras Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Dr Mohd Syaifudin Abdul Rahman dan Pengarah MARDI negeri, Nik Adli Nik Muhammad.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!