Bertimbang rasa kepada kenderaan kecil
ALOR SETAR - Pemandu kenderaan dinasihatkan sentiasa memberi laluan dan bertimbang rasa dengan kenderaan lebih ringan seperti motosikal sepanjang Ramadan dan menjelang Aidilfitri pada tahun ini.
Exco Pertanian dan Asas Tani, Pengangkutan dan Industri Utama Kedah, Azman Nasrudin berkata, kempen kesedaran sering diadakan oleh Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Kedah dalam usaha untuk mengurangkan jumlah kemalangan setiap kali musim perayaan tiba.
Menurutnya, bilangan kenderaan juga turut meningkat sepanjang bulan puasa.
"Saya ingin menasihatkan kepada semua penguna jalan raya di negeri ini agar sentiasa mematuhi peraturan malah kepada pemandu kenderaan berat seperti lori juga diingatkan agar ingat kepada kenderaan kecil seperti motosikal.
"Perkara-perkara ini yang mahu ditekankan berhubung keselamatan melalui kempen kesedaran yang dijalankan oleh JKJR dan kempen ini jadi tumpuan terutamanya menjelang hari perayaan," katanya pada sidang akhbar selepas Kempen Keselamatan JKJR Kedah sempena Ramadan di hadapan SMK Agama Kedah, petang tadi.
Azman berkata, program tersebut juga turut mendapat kerjasama dari pihak terutamanya PDRM dan JPJ bagi meningkatkan kesedaran pengguna jalan raya.
Menurutnya, bagi penunggang motosikal pula dinasihatkan agar memakai topi keledar yang dibenarkan di sisi undang-undang termasuk pemandu kereta perlu memakai tali keledar semasa memandu untuk keselamatan
"Semua musim perayaan kita sentiasa adakan kempen seumpama ini dengan harapan jumlah kemalangan akan menurun.
"Sambil-sambil kita mengedarkan bubur lambuk yang disumbangkan oleh Hotel Seri Malaysia, kita turut menasihatkan pengguna jalan raya agar berhati-hati di atas jalan raya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!