Kerajaan perlu wujudkan Kedai Rakyat Madani

KR1M ditutup pada tahun 2017 apabila kontrak pengendalinya, Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin) ditamatkan.
KR1M ditutup pada tahun 2017 apabila kontrak pengendalinya, Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin) ditamatkan.
A
A
A

KERAJAAN Barisan Nasional (BN) pada 2011 telah mengilhamkan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) sebagai inisiatif mengurangkan beban rakyat selain membantu memasarkan produk pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) tempatan.

Biarpun ketika itu wujud tentangan daripada pihak pembangkang, namun langkah diusahakan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Perdana Menteri, sedikit sebanyak memberi kelegaan kepada rakyat.

Pun begitu, selepas enam tahun pelaksanaannya, KR1M ditutup pada tahun 2017 apabila kontrak pengendalinya, Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin) ditamatkan.

Dalam pembentangan Bajet 2018, Najib yang juga Menteri Kewangan mengumumkan KR1M 2.0 dan sebagai permulaan, 50 buah kedai akan dibuka dan kemudiannya akan diperluaskan kepada 3,000 dalam tempoh tiga tahun.

Bagaimanapun, selepas Pakatan Harapan (PH) menerajui tampuk pemerintahan Putrajaya pada 2018, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberitahu KR1M 2.0 akan diteliti keperluannya sama ada akan diteruskan atau diberi penjenamaan semula.

Mengambil kira situasi terkini di mana rakyat berdepan dengan tekanan kenaikan harga barang atas faktor-faktor tertentu khususnya melibatkan mainan ekonomi global, kerajaan hari ini yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim wajar mempertimbangkan semula untuk mewujudkan kedai rakyat seakan KR1M.

Mungkin nama Kedai Rakyat Madani boleh dipertimbangkan memandangkan ia selari dengan konsep Malaysia Madani yang berlandaskan berlandaskan enam perkara: kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan.

Cadangan ini bukanlah untuk meningkatkan publisiti politik mana-mana parti atau pemimpin tetapi konsep kebajikan untuk membantu rakyat melalui pengenalan KR1M telah berjaya dan mendapat sambutan semua ketika itu.

Artikel Berkaitan:

Apa yang baik itu perlulah diteruskan dan mewujudkan Kedai Rakyat Madani sememangnya akan memberi impak positif kepada rakyat yang menginginkan barangan pada harga rendah.

Bahkan Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh turut mahu kerajaan mengembalikan semula KR1M kerana ia adalah rantaian kedai yang banyak membantu rakyat, khasnya yang berpendapatan rendah atau daripada golongan B40 untuk berbelanja pada harga berpatutan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!