Perjuangan Malaysia belum berakhir!

Barisan pelumba negara masih bersemangat memburu kemenangan pada baki tiga peringkat perlumbaan LTdL 2023.
Barisan pelumba negara masih bersemangat memburu kemenangan pada baki tiga peringkat perlumbaan LTdL 2023.
A
A
A

PASUKAN kebangsaan Malaysia terus mencongak strategi ampuh dalam misi memburu kemenangan pada baki tiga peringkat perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023.

Ketua jurulatih Malaysia, Mohd Yusoff Nasir berkata, perjuangan anak-anak buahnya masih belum selesai selagi perlumbaan edisi ke-27 itu menutup tirai Sabtu ini.

“Kami sudah mencapai sasaran (memenangi Jersi Putih pada Peringkat 3), tetapi saya belum berpuas hati dengan pencapaian pasukan setakat ini.

“Kami memang letak sasaran untuk memenangi peringkat perlumbaan. Jadi dalam baki tiga peringkat lagi, kami akan cuba melakukan yang terbaik bagi mencapai sasaran itu.

“Saya harap (Mohammad) Izzat Hilmi (Abdul Halil) dan Zulhelmi (Zainal) dapat melakukan sesuatu, tidak kira di laluan landai mahupun berbukit,” katanya kepada Sukan Sinar pada Rabu.

Pada Peringkat 3 dari Jeli, Kelantan ke Baling, Kedah, Isnin lalu, pelumba muda Malaysia, Muhammad Nur Aiman Rosli mencipta sensasi apabila berjaya menyarung Jersi Putih (Terbaik Asia).

Sebelum itu, pasukan kebangsaan Malaysia melakar sejarah apabila muncul sebagai pasukan terbaik keseluruhan dan Asia pada Peringkat 1 dari Kerteh ke Kuala Terengganu.

Dalam pada itu, Mohd Yusoff berpuas hati dengan prestasi barisan pelumbanya sebaik berakhirnya Peringkat 5 dari Slim River, Perak ke Genting Highlands pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

“Alhamdulillah apa yang kita rancang berhasil. Cuma ada sedikit masalah ketika laluan di jalan lama Genting Sempah yang mengakibatkan ada pelumba tercicir di belakang.

“Tetapi secara keseluruhannya, saya puas hati. Kita sudah meletakkan beberapa climber (pendaki) terbaik dan (Muhammad Shaiful) Adlan (Shukri) melakukan tugasnya dengan baik,” jelasnya.

Adlan muncul pelumba pertama Malaysia yang melintasi garisan penamat di Genting Highlands apabila menamatkan perlumbaan di tempat ke-33 daripada keseluruhan 117 pelumba.

“Sebagai pendaki, saya bersama Zawawi (Azman) dan Muhsin (Al Redha Misbah) sudah menjalankan tugas kami sebaik mungkin untuk memberikan cabaran kepada pencabar lain,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!