Real Madrid kembali fantastik
REAL Madrid bangkit daripada kekalahan derbi yang menyakitkan dengan kemenangan 2-0 aksi La Liga di Stadium Santiago Bernabeu ke atas Las Palmas hasil jaringan Brahim Diaz dan Joselu pada Khamis.
Pengendali Real Madrid, Carlo Ancelotti melakukan lima pertukaran terhadap kesebelasan utama yang dijinakkan 1-3 Atletico Madrid pada Isnin, merehatkan penjaring terbanyak La Liga, Jude Bellingham dan memberikan pemain baharu Diaz permulaan pertama musim ini.
Tuan rumah adalah pasukan yang jauh lebih unggul namun mensia-siakan lebih daripada separuh peluang pada separuh masa pertama, dengan Diaz dan Joselu kehilangan sentuhan penyudah dari jarak dekat.
Kecemerlangan penjaga gol Las Palmas, Alvaro Valle yang melakukan beberapa penyelamatan ternyata mengecewakan anak buah Ancelotti sebelum Diaz memecah kebuntuan dengan rembatan jarak dekat pada masa kecederaan separuh masa pertama.
Pemain gantian Lucas Vazquez, menggantikan David Alaba, melakukan hantaran silang rendah dari dalam kotak kepada Diaz kemudian melepaskan rembatan yang tidak dapat dihalang Valle ke penjuru atas gawang.
Alaba yang digantikan menambah masalah kecederaan Real dengan Dani Carvajal, Ferland Mendy dan Vinicius Jr juga diketepikan dan Thibaut Courtois dan Eder Militao mungkin akan tersisih untuk baki musim ini.
Arda Guler, yang dijangka dapat bermain menentang Las Palmas selepas pulih daripada pembedahan lutut, mengalami kecederaan paha dalam latihan yang akan melambatkan penampilan sulungnya untuk jagoan Sepanyol itu.
Vinicius diturunkan dari bangku simpanan pada separuh masa kedua selepas terlepas empat perlawanan berturut-turut untuk kelabnya.
Joselu melebarkan kedudukan Real pada minit ke-54, selepas menerima hantaran lintang dari Rodrygo, bagi memastikan tuan rumah menutup perlawanan dengan kemenangan selesa.
"Kami mencipta banyak peluang. Saya fikir kami sepatutnya menjaringkan lebih banyak gol tetapi kami bermain permainan yang sangat lengkap dan selepas kekalahan ia sentiasa menyenangkan untuk kembali menang, terutamanya di tempat sendiri," kata Diaz.
Real naik ke tangga kedua dengan 18 mata, melonjakkan Barcelona di tangga ketiga yang terikat 2-2 dengan Real Mallorca pada Rabu.
Girona pula pendahulu liga dengan 19 mata selepas bangkit ketinggalan untuk menang 2-1 di Villarreal bagi kekal tidak tewas selepas tujuh perlawanan musim ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!