Tasik Dongqian saksi kehebatan Nur Shazrin
Atlet berusia 25 tahun itu mendominasi saingan sepanjang lima hari perlumbaan di Tasik Dongqian sebelum dinobatkan sebagai pemenang acara ILCA 6 tanpa turun beraksi dalam perlumbaan terakhir selepas dibatalkan kerana kekurangan angin untuk menjalankan pertandingan.
Dengan kejayaan itu, Nur Shazrin, yang berasal dari Pasir Gudang, Johor, bukan sahaja memenangi emas Sukan Asia pertamanya selepas membawa pulang gangsa laser radial pada edisi 2018 di Jakarta-Palembang, Indonesia, malah mengesahkan tempat ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Suasana menjadi sedikit sebak apabila Lagu Negaraku berkumandang dan Jalur Gemilang dinaikkan di Pusat Pelayaran Ningbo Xiangshan, lebih 170 kilometer (km) dari sini.
Pada masa sama, pingat perak sudah berada dalam genggaman skuad sepak takraw lelaki negara apabila Malaysia melangkah ke final regu berpasukan dengan bergaya selepas menumpaskan Laos 2-0 di Gimnasium Pusat Sukan Jinhua.
Peluang anak buah Ahmad Jais Baharun memenangi emas yang didambakan pada perlawanan akhir Jumaat ini tidak mustahil, namun berdepan tugas berat apabila lawannya Thailand sudah pasti mahu mempertahankan emas yang dimenangi pada edisi lalu.
Dengan tekanan lebih dirasai Thailand, Malaysia seharusnya mengambil peluang itu untuk merampas kilauan emas tersebut sekali gus memperbaiki pencapaian perak dan melunaskan dendam selepas tumpas kepada lawan sama.
Skuad skuasy lelaki dan wanita pula sudah mengesahkan sekurang-kurangnya gangsa selepas mengesahkan tiket ke pusingan separuh akhir acara berpasukan di Pusat Pameran Antarabangsa Hangzhou.
Tumpuan hari ni turut terarah kepada jaguh berbasikal trek, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan adiknya Muhammad Ridwan, yang menjalankan tugas dengan baik untuk mara ke suku akhir acara pecut individu lelaki di Velodrom Pusat Sukan Chun’an Jieshou.
Khabar-khabar gembira yang dibawa itu sedikt sebanyak menutup kegagalan kontinjen negara dalam beberapa sukan dan diharapkan mereka yang akan meneruskan aksi antaranya jaguh ekuestrian Mohd Qabil Ambak Mahamad Fathil yang akan beraksi dalam final acara Dressage Individu Pertengahan 1.
Pemenang pingat perak edisi 2018 di Jakarta-Palembang yang menunggang kuda Rosenstolz cemerlang mengutip 72.706 mata di Pusat Ekuestrian Tonglu.
Selain itu, peminat badminton tanah air sudah tidak perlu menahan keinginan untuk melihat pemain kesayangan beraksi di Sukan Asia apabila skuad badminton lelaki negara akan memulakan cabaran mereka di Gimnasium Binjiang.
Menjelang hari keenam temasya, Malaysia kini mengumpul satu emas, dua perak dan empat gangsa.
China menungguli carta kedudukan pingat dengan mengumpul 76 emas, 43 perak dan 21 gangsa diikuti Korea Selatan (19-18-33) dan Jepun (15-27-24)). - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!