UMNO nilai semula kekuatan sebelum bergerak solo pada PRU16

Mohamad Hasan - Foto: FB Mohamad Hasan
Mohamad Hasan - Foto: FB Mohamad Hasan
A
A
A

BENTONG - Keputusan sama ada UMNO akan bergerak solo atau bersama rakan kerjasama bagi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) hanya ditentukan setelah parti itu menilai semula kekuatan yang mereka miliki nanti.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ketika ini tumpuan UMNO adalah mengukuhkan parti dan mereka mempunyai empat tahun lagi menjelang PRU16 yang dijangka berlangsung pada 2027.

Menurutnya, penting untuk UMNO mengukur baju di badan sendiri sebelum membuat keputusan untuk pertempuran lebih besar.

"Insya-ALLAH matlamat utama kita 2027 selewat-lewatnya bulan Mei 2027 kita perlu mengadakan PRU16.

"Di situ nanti kita nilai diri kita. Di situ nanti kita pastikan sama ada kita dah kuat sangat ke, boleh berdiri sendiri ke, atau perlukan rakan ke ataupun tidak," katanya ketika berucap pada program 'Sembang Santai' anjuran Barisan Nasional (BN) sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, di Felda Chemomoi pada Rabu.

Dalam pada itu, Mohamad mengakui, UMNO tidak mempunyai kekuatan ketika ini dan memerlukan rakan kerjasama.

“Kita umpama orang dah lemas, timbulkan dulu ke permukaan air. Tengok pulau mana paling dekat, tebing mana paling dekat dengan kita, berenang la situ dulu, naik dulu, keringkan badan, sihatkan badan...esok tu baru kita cakap tentang hala tuju," katanya.

Sementara itu, beliau ketika ditemui pemberita selepas program berkenaan menegaskan PRK amat penting kerana ia merupakan medan pertempuran kecil untuk mengendurkan kekuatan musuh.

Artikel Berkaitan:

Justeru ujarnya, semua ahli dan penyokong BN tidak boleh terlalu selesa dengan kemenangan PRK Pulai dan Simpang Jeram kerana ujian sebenar adalah PRU16 kelak.

"Kita dalam proses memperkasa parti, setiap PRK merupakan medan tempur kecil kerana peperangan sebenarnya PRU16. Jadi kalau kita menang setiap pilihan raya, boleh mengendurkan musuh, itu satu perkara mesti dilakukan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!