Bergson tak fokus jaringan peribadi, azam bantu lakar kejayaan JDT
PENGGEMPUR sensasi Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson Da Silva menegaskan dia tidak terlalu memberikan fokus untuk menambah jaringan peribadinya tetapi sebaliknya mahu membantu skuad Harimau Selatan itu merekodkan lebih banyak kejayaan selepas ini.
Justeru, menurut pemain kelahiran Brazil berusia 32 tahun itu, fokusnya ketika ini adalah untuk memberikan aksi yang terbaiknya dalam setiap perlawanan bagi merealisasikan perkara berkenaan.
“Seperti yang pernah saya katakan, sejak kali pertama beraksi di sini banyak perubahan yang telah berlaku sama ada kepada diri saya mahupun pasukan.
“Dari sehari ke sehari, saya berazam untuk terus memberikan yang terbaik, sama ada sebagai seorang pemain, mahu pun sebagai seorang insan..seperti hari ini (Rabu), saya tidak sangka diberikan tanggungjawab selaku kapten, tapi saya berbangga.
“Sebenarnya, tidak kira siapa jua yang menjaringkan gol kerana yang lebih penting adalah kejayaan pasukan itu sendiri,” katanya sejurus tamat aksi berdepan PDRM FC di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Rabu.
Untuk rekod, Bergson telah mencipta rekod tersendiri dengan menjadi pemain pertama yang berjaya menjaringkan 100 gol sejak mula menyertai JDT pada 2021.
Bergson merekodkan jaringan peribadi ke-101 ketika membantu skuad Harimau Selatan itu menewaskan Negeri Sembilan FC 4-1 pada aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia, 23 September lalu.
Mengulas lanjut, Bergson menafikan mengenai cakap-cakap yang mengatakan dirinya sebagai seorang pemain yang ‘tamak’ ketika berada di depan pintu gol lawan.
Katanya, perkara itu (tamak), tidak pernah berlaku kerana sejak menyertai skuad Harimau Selatan itu, dia sentiasa sedia membantu rakan-rakan sepasukan seterusnya memastikan kejayaan pasukan.
“Saya tiba ke sini tiga tahun lalu (2021). Dalam tempoh itu sudah banyak yang saya pelajari...orang-orang di sini khususnya telah mengajar saya untuk menjadi pemain dan juga individu yang lebih baik.
“Lihat sahaja malam ini (Rabu)...saya membiarkan Arif (Aiman) mengambil sepakan penalti kerana bagi saya dia mampu melaksanakan tanggungjawab itu,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!