Bolos dalam waktu singkat punca PDRM FC tewas
DIBOLOSI dalam tempoh yang terlalu singkat dilihat antara faktor yang menyumbang kepada kekalahan 0-4 PDRM FC ketika berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Rabu.
Pengendali The Cops, Datuk Yunus Alif berkata, keadaan itu (bolos) juga dilihat telah menjejaskan fokus pemain hingga membiarkan kesebelasan skuad Harimau Selatan itu mendominasi sebahagian besar perlawanan.
“Pertama saya ucap tahniah kepada JDT kerana berjaya mengekalkan kejuaraan, mereka memang hebat.
“Masalah yang kita hadapi hari ini (Rabu), adalah gol yang terlalu dekat, selepas first goal, datang balik, jadi konsentrasi mereka (pemain) down...di manakah silap, sedangkan kita dah pesan, jangan bagi peluang kepada striker (penyerang) JDT.
“Inilah sedikit ketempangan kita. Bagaimanapun, pemain-pemain muda yang saya bawa masuk bawah 23 tahun boleh meningkat lagi pada masa akan datang kalau kita terus ‘asah’ mereka ni,” katanya pada sidang akhbar sejurus tamat perlawanan.
Pada perlawanan berkenaan, pintu gol PDRM FC dibolosi pada minit ke-37 menerusi penyerang JDT, Bergson Da Silva dan disusuli jaringan Juan Muniz pada minit ke-40 pada babak pertama.
Babak kedua pula menyaksikan Arif Aiman Mohd Hanapi menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-54 sebelum pemain gantian, Fernando Forestieri meledak gol keempat pada minit ke-57 bagi melengkapkan kemenangan skuad Harimau Selatan itu.
Pada masa sama, Yunus menyifatkan kegagalan pemain memanfaatkan ‘separuh peluang’ yang diperolehi turut menjejaskan usaha untuk merobek gawang tuan rumah pada perlawanan berkenaan.
Malah katanya, kesebelasan pemain dilihat lebih menumpukan kepada taktikal bertahan sedangkan mereka sebenarnya turut memiliki peluang untuk mengasak pintu gol lawan.
“Bagi saya, keyakinan mereka (pemain) lebih kepada defensive minded, sedangkan ketika menyerang mereka perlu memanfaatkan peluang yang ada.
“JDT akan bagi sepenuhnya peluang, tetapi sebenarnya half chances itulah yang perlu dimanfaatkan
“Bagaimanapun, mereka masih muda...kena dipupuk lagi. Apa pun ia satu perlawanan yang baik dan menjadi pengalaman berharga buat pemain,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!