Satu PPS dibuka di Perlis, mangsa banjir di Kedah meningkat

Anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kota Setar membawa mangsa-mangsa banjir dari Kampung Bukit, Mukim Derang ke Pusat Pemindahan Banjir di sini, hari ini. - Foto Bernama
Anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kota Setar membawa mangsa-mangsa banjir dari Kampung Bukit, Mukim Derang ke Pusat Pemindahan Banjir di sini, hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dua negeri di wilayah utara masih terjejas dengan bencana banjir apabila jumlah mangsa di Kedah terus meningkat pagi ini dan satu pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Perlis.

PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Kubang Gajah di Arau, Perlis dibuka pada jam 8 malam tadi susulan banjir kilat yang berlaku di Kampung Kubang Gajah akibat hujan berterusan sejak petang Rabu.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Perlis, Lt Kol (PA) Mohd Izaimi Md Daud berkata, PPS itu menempatkan 42 mangsa daripada 16 keluarga dari kampung berkenaan.

Pada Rabu, banjir di Arau pulih sepenuhnya apabila PPS di SK Arau yang menempatkan 38 mangsa daripada 11 keluarga dari Kampung Titi Besi dan Kampung Kebun ditutup pada jam 2.45 petang.

Di Kedah, jumlah mangsa terus mencatatkan peningkatan kepada 1,220 orang daripada 372 keluarga pagi ini berbanding 701 orang daripada 201 keluarga malam tadi.

Ketua Bahagian Sekretariat Pengurusan Bencana APM Kedah, Mej (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata, kesemua mangsa ditempatkan di 11 PPS melibatkan daerah Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena dan Baling.

Empat PPS dibuka di Kubang Pasu iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Changlun, Dewan Kampung Tradisi Lembah Keriang di Changlun, SK Malau dan Dewan PPK Lubuk Batu manakala dua PPS beroperasi di Kota Setar (SK Taman Aman dan SMK Kepala Batas).

Selain itu, tiga PPS dibuka di Pokok Sena (SK Bukit Hijau, Maahad Tarbiyah Derang dan Surau Permatang Limau) manakala dua PPS di Baling (SK Iboi dan SMK Jerai). - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!