Jalan terputus: Penduduk catu makanan, makan ubi kayu ganti nasi
NABAWAN - Bukan saja makanan dicatu malah ada penduduk terpaksa bergantung dengan ubi kayu bagi menggantikan nasi selepas terputus bekalan makanan selama hampir sebulan susulan kejadian tanah runtuh yang berlaku di sepanjang laluan perkampungan di Pensiangan di sini.
Wakil Ketua Anak Negeri Pensiangan Mantoi Angkayang, 61, berkata, kejadian tanah runtuh berlaku pada 5 September lalu merupakan situasi terburuk terpaksa dihadapi penduduk di sekitar kawasan itu.
"Jalan putus menyebabkan penduduk tidak dapat keluar membeli bekalan makanan terutama beras dan makanan kering.
Laluan lain seperti sungai agak bahaya untuk dilalui selain mengambil masa sehingga tujuh jam dengan menaiki bot untuk ke Nabawan.
"Sejak jalan terputus, penduduk terpaksa catu makanan dan mencari yang ada di sekitar kampung untuk bertahan selama beberapa minggu," katanya ketika ditemui Sinar Harian di Pensiangan, di sini pada Rabu.
Jelasnya lagi, penduduk juga sukar mendapatkan makanan dari kebun masing-masing berikutan laluan untuk ke kebun turut tidak boleh dilalui.
"Kebun penduduk jauh, saya sendiri tidak boleh keluar ke kebun untuk memetik hasil.
Malah hasil pertanian juga tidak boleh dikeluarkan dan dijual disebabkan jalan masih tidak dapat dilalui," jelasnya.
Dalam pada itu, Mantoi bersyukur kerana bantuan bekalan makanan untuk penduduk di kawasannya disalurkan menerusi misi kemanusiaan yang dilaksanakan oleh pelbagai agensi ke Pensiangan.
Sebelum itu, misi kemanusiaan dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan badan bukan kerajaan (NGO) daripada Force of Love (FOL) membawa kira-kira 11 tan bekalan makanan untuk disalurkan kepada penduduk di sekitar Pensiangan.
Penghantaran bekalan makanan kali ini menggunakan helikopter jenis Mi-171 milik JBPM dan juga helikopter AW 139 milik PDRM.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!