PTPTN bantu 30,893 pelajar ke IPTA

Komitmen PTPTN ringankan beban pelajar, ibu bapa

A
A
A

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mohammad Yusof Apdal (tengah) bergambar bersama para penerima WPP di Lahad Datu,Sabah.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mohammad Yusof Apdal (tengah) bergambar bersama para penerima WPP di Lahad Datu,Sabah.



SHAH ALAM - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memperuntukkan RM46.34 juta Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) bagi membantu 30,893 pelajar membuat persiapan awal sebelum memulakan pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda di Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) bagi sesi kemasukan Oktober ini.

Pemberian WPP berjumlah RM1,500 kepada setiap pelajar yang layak itu merupakan inisiatif PTPTN untuk memastikan kebajikan para pelajar khususnya daripada keluarga berpendapatan rendah dapat menyambung pengajian dengan sebaik-baiknya.

Para pelajar yang menerima tawaran WPP boleh menunaikan sendiri wang tersebut kaunter Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) di seluruh negara mulai 19 September 2023 dengan membawa bersama surat tawaran dan MyKad. Wakil adalah tidak dibenarkan. Tempoh sah laku WPP adalah selama dua bulan bermula daripada 19 September 2023 hingga 18 November 2023.

Norliza (dua dari kiri) beramah mesra bersama antara pelajar yang menerima WPP di Pulau Pinang.
Norliza (dua dari kiri) beramah mesra bersama antara pelajar yang menerima WPP di Pulau Pinang.

WPP diberikan kepada para pelajar warganegara Malaysia yang telah memberikan persetujuan menerima bantuan tersebut semasa membuat permohonan melalui portal UPUOnline atau portal kemasukan IPTA.Selain itu,ibu bapa atau penjaga pelajar merupakan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) serta memenuhi kriteria permohonan yang ditetapkan.

Semenjak WPP diperkenalkan pada tahun 1999 hingga 31 Ogos 2023, seramai 969,046 pelajar telah menerima manfaat ini dengan peruntukan berjumlah RM1.43 bilion.

Pengerusi PTPTN, Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, inisiatif itu juga adalah sebahagian daripada agenda pendidikan negara dengan memastikan semua pelajar mampu melangkah masuk ke IPT tanpa sebarang masalah kewangan.

Artikel Berkaitan:

Antara pelajar yang menerima tawaran WPP PTPTN di Pasir Gudang, Johor.
Antara pelajar yang menerima tawaran WPP PTPTN di Pasir Gudang, Johor.

“Pemberian WPP ini adalah untuk membantu meringankan beban kewangan pelajar dan ibu bapa kerana kita percaya tidak semua mampu menghantar anak-anak ke IPT ekoran memerlukan sumber kewangan tinggi.

“Justeru,gunakan peluang ini dengan sebaik mungkin. Tunjukkan rasa terima kasih dengan belajar bersungguh-sungguh sehingga menjadi modal insan unggul kepada negara,”katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan para pelajar boleh membuat permohonan WPP melalui portal rasmi PTPTN mengikut tarikh yang ditetapkan bagi setiap IPTA masing-masing bagi memastikan pinjaman dapat diproses dan diluluskan sewajarnya.

WPP PTPTN membantu pelajar membuat persiapan awal sebelum memulakan pengajian di IPTA.
WPP PTPTN membantu pelajar membuat persiapan awal sebelum memulakan pengajian di IPTA.

“Pelajar yang ingin memohon pinjaman PTPTN juga perlu mempunyai akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) yang boleh dibuka melalui aplikasi myPTPTN.

“Jika pelajar mempunyai sebarang pertanyaan, mereka boleh merujuk kepada Bahagian Hal Ehwal Pelajar IPT masing-masing atau terus menghubungi PTPTN atau layari www.ptptn.gov.my,” ujarnya.

Pelajar syukur terima WPP, hargai usaha PTPTN

Shah Alam - Seorang penerima WPP, Danial Azlan Johari,23 berkata, wang tersebut sudah pasti akan digunakan sebaik mungkin untuk membuat persiapan bagi menyambung pengajian di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada 15 Oktober ini.

DANIAL AZLAN
DANIAL AZLAN

“Wang WPP ini besar maknanya kepada pelajar yang datang dari keluarga yang kurang berkemampuan.

“Bapa saya bekerja sendiri manakala ibu saya seorang suri rumah. Jadi, WPP ini dapatlah saya gunakan tanpa membebankan mereka berdua,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Selasa.

Tambah Danial, jumlah wang WPP RM1,500 yang diberikan PTPTN itu sudah mencukupi untuk membuat persediaan memasuki IPTA.

Sementara itu, seorang lagi pelajar, Ilya Maisarah Hazmadi, 19, dari Pulau Pinang memberitahu, dia amat gembira dengan bantuan WPP yang diterimanya itu.

ILYA MAISARAH
ILYA MAISARAH

Anak keempat daripada lima beradik itu berkata, WPP itu akan sedikit sebanyak akan menjadi semangat untuk memulakan kehidupannya di kampus seterusnya mengubah masa depan keluarganya.

“Saya membuat permohonan WPP kerana mahu mengurangkan beban ibu bapa.Yuran pengajian semester pertama mencecah RM2,000, dapatlah juga menampung sedikit dengan WPP.

“Oleh itu, saya bersyukur sangat-sangat kerana WPP ini membantu meringankan beban saya dan ibu bapa saya. Insya-ALLAH, saya akan belajar bersungguh-sungguh,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!