'Capaian internet tak stabil, asyik kena tukar kad sim'

Penduduk Pelangai mahu isu capaian internet yang lemah diberi perhatian. (Gambar kecil: Azman, Salbiah, Nurul Atirah, Nora Azma)
Penduduk Pelangai mahu isu capaian internet yang lemah diberi perhatian. (Gambar kecil: Azman, Salbiah, Nurul Atirah, Nora Azma)
A
A
A

BENTONG - Rata-rata penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai mahu capaian internet di seluruh kawasan itu ditingkatkan agar lebih stabil untuk keperluan mereka.

Salah seorang penduduk Kampung Bukit Gajah, Nora Azma Ishar, 47, berkata, capaian internet menjadi perlahan setiap kali hujan dan ketika kadar penggunaan tinggi apabila terdapat acara keramaian.

Menurutnya, kemudahan tersebut perlu ditambah baik kerana internet sudah menjadi keperluan mereka untuk berhubung, termasuk mendapatkan maklumat terkini mengenai perkembangan setempat dan negara di alam maya.

"Sekarang ini musim pilihan raya, orang ramai di Pelangai, line internet jadi slow (lemah). Kalau hujan pun begitu.

"Dulu memang la (capaian) lagi teruk. Sekarang dah ok, tapi tak stabil. Kalau hari raya, ramai-ramai balik kampung pun jadi slow," katanya kepada Sinar Harian.

Bagi peniaga, Nurul Atirah Zulkafli, 31, juga senada mahu isu capaian internet yang lemah diberi perhatian.

Katanya, tidak semua liputan internet daripada syarikat telekomunikasi stabil untuk setiap kawasan.

"Ada line yang ok ada yang tak ok. Susah bila kita nak berhubung dengan orang lain.

Artikel Berkaitan:

"Jadi tergendala...susah la nak buat kerja," katanya.

Seorang lagi penduduk Bukit Batu Gajah, Salbiah Mat Siran, 59, berkata, sudah sampai masa pencawang bagi menstabilkan liputan internet ditambah di sekitar kawasan Pelangai.

"Susah bila asyik kena tukar-tukar kad sim sebab line internet tak stabil. Masa anak-anak guna untuk belajar waktu PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dulu pun asyik terganggu," katanya.

Penduduk Felda Chemomoi, Azman Md Wal, 53, juga mengakui perkara sama walaupun kawasan penempatan itu antara lokasi yang mempunyai capaian internet yang baik.

"Saya sendiri guna untuk berhubung, dan tengok juga media sosial seperti TikTok untuk dengar ceramah-ceramah dan ambil tahu perkembangan. Tapi bila hujan memang kerap line slow (capaian lemah)," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!