Harimau berkeliaran: Perhilitan teruskan rondaan, pemantauan

Mohamad Hafid berkata, Perhilitan akan terus memantau dan membuat rondaan di sekitar kawasan harimau belang ditemui berkeliaran dari semasa ke semasa.
Mohamad Hafid berkata, Perhilitan akan terus memantau dan membuat rondaan di sekitar kawasan harimau belang ditemui berkeliaran dari semasa ke semasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) akan terus memantau dan membuat rondaan di sekitar kawasan harimau belang ditemui berkeliaran di jalan raya di Kelantan pada Selasa.

Pengarah Perhilitan Kelantan, Mohamad Hafid Rohani berkata, pihaknya menerima aduan sekitar jam 11 pagi berhubung kehadiran harimau di laluan Gua Musang-Jeli.

Beliau berkata, harimau yang bersaiz agar besar itu ditemui orang ramai berhampiran Kampung Lata Kertas, Dabong.

"Ekoran aduan yang diterima daripada orang ramai, pemantauan dijalankan di kawasan terlibat bermula Rabu.

"Pemantauan dijalankan oleh kakitangan Perhilitan Kuala Krai bersama Unit Harimau Konservasi Hidupan Liar (KHL) daripada ibu pejabat," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Ditanya mengenai operasi menjejaki harimau tersebut, Mohamad Hafid berkata, pihaknya telah menemukan jejak haiwan itu.

Jelasnya, kumpulan operasi berpandangan harimau tersebut telah masuk ke dalam hutan berdekatan.

"Pemantauan dan rondaan di kawasan sekitar diteruskan oleh kumpulan operasi dari semasa ke semasa," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Semalam, Sinar Harian melaporkan seorang pemandu lori ais dan kelindannya mendakwa terserempak dengan harimau belang ketika melalui jalan Gua Musang-Jeli di kawasan Bukit Meranto pada Selasa.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!