Wujud situasi menang-menang, isu bantahan menara telco
MELAKA - Kerja-kerja pembinaan menara telekomunikasi (telco) di Taman Seri Songket, Batu Berendam dekat sini dihentikan sementara dalam mencari penyelesaian terbaik dengan situasi menang-menang terhadap bantahan penduduk.
Exco Sains, Teknologi Inovasi dan Komunikasi Digital, Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, penyelesaian secara perbincangan penting dilakukan bagi memastikan projek di bawah program Jalinan Digital Negara (Jendela) itu tidak dibatalkan sekali gus akan merugikan penduduk yang mengalami masalah capaian internet rendah.
Menurutnya, setakat ini terdapat beberapa cadangan yang disuarakan penduduk termasuk mengubah kedudukan menara itu yang didirikan di atas tanah persendirian kerana bimbang ia dibina terlalu dekat dengan kediaman.
Bagaimanapun, menurutnya, dalam isu ini perlu mendapat pandangan pelbagai pihak lebih-lebih lagi kawasan perumahan tersebut berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) dan sekiranya terlalu dekat dengan kemudahan itu ia pasti tidak akan dibenarkan oleh Jabatan Penerbangan Awam (DCA).
"Saya minta projek ini tidak dibatalkan, kita bukan bina sebarangan, namun setelah mendapat aduan dan ini memastikan kemudahan jalur lebar di kawasan ini lebih baik.
"Kita juga telah dapat persetujuan semua jabatan teknikal, namun perlu mengambil kira pandangan penduduk yang membantah dan selepas ini kita akan duduk semeja dengan jabatan teknikal dalam mencari jalan penyelesaian," katanya ketika ditemui di Batu Berendam pada Khamis.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asahan berkata, pihaknya juga akan berbincang bersama syarikat telco tersebut iaitu Maxis untuk memohon tempoh lanjutan sebelum satu kata sepakat dicapai.
"Ini satunya aduan bantahan yang dibuat penduduk di Melaka dan kita mengambil serius aduan tersebut demi keharmonian penduduk.
"Pada masa sama perancangan kita akan membina 10 menara telco yang dalam tempoh dua tahun sehingga 2025 di bawah Fasa 2 Jendela," katanya.
Sementara itu, wakil penduduk, Zahiruddin Osman, 44, berkata, penduduk membantah kerana bimbang dengan kewujudan menara itu yang sebelum ini mereka tidak pernah dimaklumkan berkenaan projek tersebut.
Menurutnya, lebih merisaukan harga tanah di kawasan perumahan yang mempunyai 100 unit rumah didakwa akan turun selepas pembinaan tersebut.
Malah katanya, sebelum ini kawasan pembinaan itu juga didakwa tidak dipagar ataupun ditutup hingga menimbulkan kegusaran dalam kalangan penduduk terutama kanak-kanak bermain di situ.
"Penduduk bukan menolak pembangunan dan teknologi, namun diharap kerajaan mengambil kira kebimbangan penduduk dan kami memberi cadangan agar menara itu dipindahkan ke lokasi lain," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!