Air banjir hanyut kayu balak ke depan rumah

Kayu balak yang dihanyutkan air banjir ke rumah penduduk.
Kayu balak yang dihanyutkan air banjir ke rumah penduduk.
A
A
A

BALING - Banjir kilat yang melanda Kampung Iboi pada Rabu diibaratkan sama seperti kejadian kepala air yang melanda kampung berkenaan pada 4 Julai tahun lalu.

Penduduk, Mashitah Ahmad, 49, berkata, ini kerana hujan lebat pada petang Rabu itu turut menghanyutkan kayu balak ke rumahnya.

"Satu (kayu balak) di garaj kereta dan satu lagi di belakang rumah, mujur banjir kilat surut pada jam 11 malam, jika hujan berterusan saya bimbang rumah ini mungkin terus tenggelam," katanya ketika ditemui di sini pada Khamis.

Ujarnya, kejadian banjir kilat yang berlaku pada waktu malam itu masih meninggalkan kesan buat dirinya kerana bimbang dihanyutkan arus deras ketika kejadian.

"Hujan mula turun kira-kira jam 6.30 petang, sebelum itu kami sudah dimaklumkan bahawa hujan di Gunung Inas kira-kira jam 4 petang lagi.

"Jadi kami mula mengemas dan mengangkat barang ke tempat tinggi, tak sampai sejam, air Sungai Kupang mula naik melimpah kira-kira 7.30 malam," katanya.

Menurutnya, tanpa berfikir panjang, mereka sekeluarga bergegas naik ke bahagian rumah yang lebih tinggi.

"Memang tak fikir apa dah kerana kilat dan guruh sabung menyabung, bekalan elektrik juga terputus ketika itu.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun, kami sekeluarga bernasib baik kerana kerajaan sudah melakukan proses mendalamkan sungai selepas kejadian kepala air tahun lepas," katanya.

Mashitah yang juga Guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) berkata, kejadian banjir itu turut menyebabkan dia kerugian kira-kira RM7,500 apabila 15 daripada 100 sarang kelulut milik suaminya Rosni Said, 54, dihanyutkan air.

Dalam kejadian banjir kilat pada Rabu, tiga buah Kampung iaitu Kampung Iboi, Kampung Bukit Iboi dan Kampung Empang terjejas dengan jumlah 283 mangsa daripada 124 keluarga dipindahkan.

Mereka dipindahkan di tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Iboi, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerai dan SK Kampung Keda.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!