Import makanan ayam punca harga telur naik: Menteri
POKOK SENA - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna mengenal pasti kenaikan harga telur di pasaran tempatan yang berlaku kebelakangan ini antaranya disebabkan kos bekalan makanan ayam yang diimport.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kebanyakan makanan ayam diimport dari Brazil serta Argentina dan urusan perdagangan dilakukan di Singapura sebelum dibawa masuk ke negara ini.
"Import makanan ayam ini bernilai lebih kurang RM35 bilion setahun, peniaga yang melakukan perdagangan ini tidak ramai kerana bila saya masuk (menjadi menteri) saya teliti perniagaan ini saya dapati hanya ada seramai 25 atau 26 peniaga sahaja," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyerahan zakat Suruhanjaya Syarikat Malaysia di sini, hari ini.
Beliau diminta mengulas mengenai kenaikan harga telur di pasaran tempatan dan sama ada wujud kartel dan monopoli yang mengawal harga produk makanan itu.
Menurut Saifuddin, apabila pengimport terbabit melakukan pemindahan harga, ia seterusnya menyebabkan penternak di negara ini terpaksa membayar harga tinggi untuk mendapatkan makanan ayam dan untuk menampung keadaan itu pula penternak terpaksa menaikkan harga telur.
Katanya, bagi mengatasi masalah tersebut, kementerian menubuhkan sebuah jawatankuasa diketuai Ketua Setiausaha kementerian Datuk Seri Jamil Salleh untuk memastikan bekalan makanan ayam tidak lagi terlalu bergantung kepada pengimport tersebut.
Katanya, ketika ini jawatankuasa itu sedang menyiapkan laporannya berhubung perkara itu yang dijangka siap tidak lama lagi untuk dibentangkan kepada kabinet.
"Kalau kita boleh ambil alih mungkin boleh diselesaikan tetapi kita perlu menggantikan sistem itu kepada cara baharu dan sudah tentu kita perlu libatkan dengan pihak swasta di negara ini untuk membantu kita memecahkan amalan monopoli ini," katanya.
Sebelum ini, Saifuddin dilaporkan berkata, kementerian akan menyiasat sama ada aktiviti kartel telah menyebabkan harga telur meningkat secara konsisten pada setiap minggu sejak beberapa bulan lepas dan pihaknya menerima banyak aduan mengenai kenaikan itu.
Sementara itu, menurut laman web Jabatan Veterinar, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, harga telur menyaksikan peningkatan konsisten dengan harga semasa pada 4 Dis lalu adalah pada 43 sen sebiji bagi bagi gred ‘AA’, diikuti 42 sen sebiji bagi gred ‘A’, gred ‘B’ (41 sen), gred ‘C’ (40 sen), gred D (38 sen) dan gred E (36 sen). - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!