Banjir landa Mukim Derang kali ini terburuk sejak 2017

Syuhaida melihat anaknya, Aryiffa Airis Muhammad Patrick Idham, 8, mewarna di PPS SK Bukit Hijau pada Khamis.
Syuhaida melihat anaknya, Aryiffa Airis Muhammad Patrick Idham, 8, mewarna di PPS SK Bukit Hijau pada Khamis.
A
A
A

POKOK SENA - Penduduk di Mukim Derang menyifatkan kejadian banjir yang melanda kawasan itu adalah yang terburuk berbanding pada tahun 2017 lalu.

Penduduk, Syuhaida Bakar, 44, berkata, ini kerana air naik dengan cepat sehingga menyebabkan penduduk diarahkan berpindah oleh anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah.

Menurutnya, sebaik menyedari air mulai memenuhi rumah pada jam 3 pagi, mereka lima beranak bergegas keluar ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Hijau.

"Sebaik sahaja tiba di PPS, semua kelengkapan dan penempatan sudah disediakan untuk mangsa-mangsa banjir.

"Air naik sangat cepat, tapi pihak APM (Angkatan Pertahanan Awam Malaysia), JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) dan lain-lain agensi bertindak cepat untuk selamatkan penduduk walaupun jam sudah 3 pagi," katanya ketika ditemui di PPS SK Bukit Hijau di sini pada Khamis.

Menurutnya, mereka sekeluarga hanya sempat menyelamatkan beberapa perkakas elektrik yang dipindahkan ke tingkat atas rumah.

"Perabot dan barangan yang lebih besar saya terpaksa biarkan. Tawakal sahaja, harap-harap tiada yang rosak teruk.

"Semoga air surut dengan cepat dan kami boleh balik membersihkan rumah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Azizah dan Mohamad Rizal.
Azizah dan Mohamad Rizal.

Azizah Shaari, 72, pula berkata, dia tidak menyangka hujan lebat akan menyebabkan banjir sehingga terpaksa berpindah ke PPS.

"Makcik ingat hujan biasa saja, tak terfikir pula sampai hendak banjir macam ini. Tapi sudah takdir, kita reda saja.

"Kalau depa bagi balik rumah, kita balik. kalau tak, duduk lagi semalam kat sini (PPS). Sudah dua malam kat sini, Alhamdulillah makan minum semua cukup, tempat tidur pun selesa," katanya.

Sementara itu, Pegawai Daerah Pokok Sena, Mohamad Rizal Mohamad Radzi berkata, sebanyak tiga PPS di uka di daerah Pokok Sena.

"Di SK Bukit Hijau seramai 313 mangsa, Maahad Tarbiyah Derang (157 mangsa) dan SK Permatang Limau (15 mangsa).

"Paras air banjir ketika ini makin surut, kita jangka kalau tidak ada hujan, mungkin sehari dua lagi air surut sepenuhnya dan kita akan tutup semua PPS," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!