Nur Aiman memukau akhiri Peringkat 6 LTdL 2023

Nur Aiman dinobatkan sebagai pelumba terbaik Malaysia Peringkat 6 LTdL 2023 dari Karak ke Melaka pada Khamis. - Foto Bernama
Nur Aiman dinobatkan sebagai pelumba terbaik Malaysia Peringkat 6 LTdL 2023 dari Karak ke Melaka pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

PELUMBA muda pasukan kebangsaan Malaysia, Muhammad Nur Aiman Rosli masih ada sebab pulang ceria sebaik menamatkan Peringkat 6 Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 dari Karak ke Melaka sebentar tadi.

Pada perlumbaan sejauh 174.5 kilometer (km) itu, Nur Aiman yang tampil kali pertama di pentas LTdL, menduduki tempat ke-16, sekali gus dinobatkan sebagai pelumba terbaik Malaysia.

Dalam laluan Peringkat 6 itu, Nur Aiman berjaya berada dalam kelompok tiga terbaik dalam perebutan mata di zon pecutan - Pelangai, Batu Kikir dan Kuala Pilah.

Di Pelangai, Nur Aiman berada di tempat ketiga; Batu Kikir (kedua) dan Kuala Pilah (pertama), sekali gus mengumpul keseluruhan enam mata.

Malah, Nur Aiman turut boleh berbangga apabila meraih mata di zon pendakian apabila berada di tempat kedua di Gapoi dan Luak Inas bagi membolehkannya mengumpul tiga mata.

"Perancangan saya memang nak melarikan diri daripada peloton dan cuba kutip (mata) apa yang boleh memandangkan harapan untuk mengejar jersi sudah jauh.

"Walaupun sudah jauh untuk memburu jersi tetapi saya dan rakan-rakan sepasukan akan cuba melakukan yang terbaik untuk pasukan Malaysia.

"Kami akan cuba cari mata di zon pecutan ataupun pendakian, itu sahaja yang boleh dilakukan pada masa sekarang selain mencari kemenangan peringkat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Nur Aiman mengharapkan aura di laman sendiri apabila memulakan Peringkat 7 dari Muar ke Seremban 2 sejauh 123.8km pada Jumaat.

Menurutnya, Muar bukan asing buatnya memandangkan Bandar Maharani Bandar Diraja itu adalah tempat kelahirannya sebelum membesar di Tangkak, Johor.

"Saya mengharapkan warga Muar memberikan sokongan padu terutamanya kepada pelumba pasukan kebangsaan Malaysia," jelasnya yang memenangi Jersi Putih (Terbaik Asia) pada Peringkat 3 dari Jeli, Kelantan ke Baling, Kedah pada Isnin lalu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!