'Saya nak tidur dengan tenang' - Khairul Aming
SHAH ALAM - Pempengaruh, Khairul Aming akui lebih gemar memilih kehidupan bebas hutang dengan mengamalkan konsep penyimpanan duit yang selesa dan mempunyai jaringan keselamatan kewangan kukuh.
Menurutnya, wang simpanan yang ada lebih baik digunakan untuk melabur dalam perniagaan sambal yang diusahakan sejak enam tahun lalu.
Beliau mendedahkan, satu-satunya pinjaman wang daripada bank yang dimilikinya adalah kereta peribadinya, Perodua Bezza.
“Saya memang jenis suka melabur dalam bisnes, duit daripada bisnes akan berkembang untuk bisnes semula.
“Bab bisnes saya tidak berkira, contoh jika staf nak pakai atau beli mesin ini, okey beli. Tetapi kalau saya nak beli barang sendiri, pergi kedai ini, tengok mahal, saya letak balik,” katanya menerusi satu hantaran yang tular di aplikasi TikTok pada Selasa.
Khairul Aming atau nama sebenarnya, Khairul Amin Kamarulzaman mendedahkan, pembelian aset yang memberi pulangan wang semula seperti mesin sambal adalah lebih baik berbanding membeli kereta atau rumah mewah.
“Saya nak tidur tenang, itu saja. Sudah enam tahun tak cukup tidur, berhempas pulas buat benda ini (perniagaan). Tapi nak kata tidur tenang, tidak juga sebab ada tanggungjawab baru.
“Saya kena fikir yang baru pula iaitu jaga prestasi perniagaan, pendapatan dan staf sebab saya jenis tak boleh duduk diam.
“Kalau untung rendah, saya akan buat sesuatu untuk menaikkannya semula, buat video atau apa-apa sahaja,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!