153 individu ditahan terlibat judi dalam talian

Seramai 153 individu ditahan dalam 136 serbuan menerusi Op Dadu Khas terhadap premis yang disyaki menjalankan kegiatan judi dalam talian dan loteri awam di Johor bermula Jumaat lepas hingga Rabu. - Gambar hiasan
Seramai 153 individu ditahan dalam 136 serbuan menerusi Op Dadu Khas terhadap premis yang disyaki menjalankan kegiatan judi dalam talian dan loteri awam di Johor bermula Jumaat lepas hingga Rabu. - Gambar hiasan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seramai 153 individu ditahan dalam 136 serbuan menerusi Op Dadu Khas terhadap premis yang disyaki menjalankan kegiatan judi dalam talian dan loteri awam di Johor bermula Jumaat lepas hingga Rabu.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, kesemua yang ditahan berusia 18 hingga 66 tahun terdiri daripada 125 lelaki dan 28 perempuan.

"Daripada jumlah tersebut, 115 daripadanya adalah lelaki warga tempatan manakala 10 lagi adalah warga asing. Seramai 19 wanita warga tempatan ditahan dan sembilan lagi adalah wanita warga asing.

"Dalam tempoh tersebut, kita juga telah merampas 163 unit telefon bimbit pelbagai jenama, 61 pencetak mudah alih serta wang tunai berjumlah RM32,699,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, premis yang terlibat sedang dalam proses permohonan pembatalan lesen dan pemotongan bekalan elektrik namun masih menunggu kelulusan dari pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Katanya, kesemua tangkapan telah dibawa ke mahkamah untuk permohonan reman sebagaimana diperuntukan di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 4A (a) dan 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 kerana menjaga atau mengurus atau membantu tempat perjudian terbuka dan jika sabit kesalahan boleh dihukum denda tidak kurang RM 50,000 dan penjara tidak lebih tiga tahun,” katanya.

Kamarul Zaman turut meminta orang ramai menyalurkan maklumat mengenai sebarang kegiatan judi dalam talian kepada balai polis berhampiran atau bilik gerakan polis Johor di talian 07-2212999 atau 07-2254677. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!