Kekal tradisi Ngejot dalam sambutan Maulidur Rasul
LOMBOK - [DIKEMAS KINI] Pelbagai cara dizahirkan umat Islam dalam menzahirkan kasih sayang dan kecintaan terhadap Nabi Muhammad SAW setiap kali sambutan Maulidur Rasul pada saban tahun.
Bagi masyarakat Islam di Lombok Timur dekat sini, mereka turut tidak melepaskan peluang meraikan Maulidur Rasul dengan cara tersendiri termasuk mengikut adat dan tradisi penduduk setempat.
Majlis Peringatan Maulid Nabi Besar Muhammad SAW di Masjid Besar Jami'yiyatul Qudsiyyah Kecamatan di Pringgasela, Lombok Timur di sini pada pagi sehingga tengah hari Khamis, amat meriah seakan-akan sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Pengurus masjid tersebut, Salehin Halim, 70, mengakui sambutan meriah seperti itu diadakan setiap tahun dan sejak awal pagi penduduk sudah bersiap-siap untuk ke hadir ke masjid.
"Sambutan meriah seperti ini dilakukan pada setiap tahun dimulakan dengan nyanyian dan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW. Turut diadakan pada hari ini program berkhatan untuk 60 kanak-kanak dengan usia paling muda bayi berusia tiga bulan.
"Sambutan ini bukan sekadar mengingati Nabi Muhammad SAW tetapi juga mengeratkan silaturahim. Modal untuk menganjurkan majlis ini disumbangkan penduduk dan jemaah di sekitar masjid ini," katanya ketika ditemui pemberita.
Turut hadir Presiden Humanitarian Care Malaysia Berhad (MyCARE) Johor, Rozi Abd Ghani; Pengurus Besar Pasar Raya Econsave, Mas Imran Adam; Pengurus Kanan Tugas-tugas Khas Karangkraf, Hashim Anang dan Presiden Kelab Majestic Motor Group, Zulkarnain Ishak.
Mereka turut disertai ahli-ahli Kelab Majestic Bikers selain disertai wartawan dan jurugambar Sinar Harian, TV Al Hijrah, Harian Metro serta Utusan Malaysia.
Seramai 17 terlibat dalam Misi Bantuan Pasca Gempa Bumi Lombok di Lombok, Indonesia dari 27 sehingga 30 September ini.
Sementara itu, Ketua Desa Pringgasela, Azizan Zohri, 34, berkata, lebih 1,000 penduduk hadir dengan pakaian lelaki dan wanita masing-masing berpakaian tenun.
"Sambutan Maulidur Rasul seakan wajib bagi penduduk untuk menyambutnya dengan tradisi tempatan dipanggil Ngejot selain mengamalkan gotong-royong dengan konsep ringan sama dijinjing, berat sama dipikul.
"Menerusi tradisi ini masyarakat bersama-sama memasak makanan. Untuk hari ini, kita sediakan 600 dulang makanan tradisional dan 400 dulang makanan ringan untuk kanak-kanak," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!