Kes demam denggi: Selangor catat peningkatan 68 peratus
SHAH ALAM - Kes demam denggi di Selangor mencatatkan peningkatan 68 peratus iaitu sebanyak 41,703 kes direkodkan bagi Minggu Epidemiologi ke-37 (ME 37/2023).
Berdasarkan statistik Jabatan Kesihatan negeri, jumlah itu meningkat sebanyak 16,883 kes berbanding minggu epid (ME) yang sama pada tahun lalu.
Dalam pada itu, Jabatan Kesihatan negeri turut merekodkan sebanyak lima kematian berlaku pada tahun ini, berbanding 10 kematian dalam tempoh sama pada tahun lalu.
Perkembangan tersebut mendapat perhatian Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari yang menggesa rakyat Selangor agar mengambil langkah lebih berjaga-jaga.
Menurut beliau, dengan pengamalan pencegahan dan tanggungjawab kolektif, kes denggi boleh diturunkan untuk menjamin keselamatan masyarakat sejagat.
"Peningkatan kes-kes denggi di Selangor membimbangkan ramai individu serta keluarga.
"Ayuh kita amalkan langkah berjaga-jaga bagi memastikan diri dan keluarga dilindungi dari demam denggi," ujarnya menerusi satu hantaran di laman Facebooknya pada Khamis.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!