Terharu kurniaan Sultan Johor, perit jerih lapan tahun berakhir
SHAH ALAM - Perit jerih dua beranak yang bergilir mendayung bot ke laut untuk mencari hasil laut demi menyara keluarga sejak lapan tahun lalu berakhir apabila menerima sebuah enjin bot kurniaan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Michael Chelvaraj, 31 berkata, kurnian itu amat bermakna buatnya dan ibu, Lad Bachik, 70 kerana mereka sudah tidak perlu mendayung bot untuk mencari hasil laut demi menyara keluarga.
“Saya sekeluarga amat menghargai kurniaan baginda. Sesungguhnya kurniaan ini besar maknanya kepada kami mencari rezeki di laut.
“Selama hampir lapan tahun, saya dan ibu silih berganti mendayung bot. Walaupun sudah berusia, namun ibu masih kuat ke laut mencari hasil bersama saya,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Media sebelum ini melaporkan, Sultan Johor telah mengurniakan enjin bot kepada lima nelayan dari Kampung Teluk Berhala, Pulau Aur, Mersing.
Ujarnya, pengurniaan itu susulan permintaan mereka yang telah diutarakan ketika lawatan spontan baginda di situ.
Menurut Michael, baginda sememangnya amat dekat di hati masyarakat Orang Asli.
“Baginda sentiasa mengambil berat kebajikan rakyat khususnya Orang Asli dan mengurniakan pelbagai bantuan.
“Sewaktu pandemik Covid-19, ramai nelayan tidak dapat turun ke laut namun, baginda mengurniakan bantuan makanan kepada rakyat di pelbagai kawasan untuk meringankan beban mereka,” kata Michael.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!