Malaysia kutuk pencerobohan ekstremis Israel di Masjid Al-Aqsa

Malaysia mengutuk pencerobohan oleh pendatang ekstremis Israel di Masjid Al-Aqsa pada 24 dan 25 September. - Foto Reuters
Malaysia mengutuk pencerobohan oleh pendatang ekstremis Israel di Masjid Al-Aqsa pada 24 dan 25 September. - Foto Reuters
A
A
A

PUTRAJAYA - Malaysia mengutuk pencerobohan oleh pendatang ekstremis Israel di Masjid Al-Aqsa pada 24 dan 25 September.

Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam satu kenyataan berkata, pencerobohan yang dirancang itu merupakan satu lagi tindakan yang disengajakan oleh rejim Israel dan jelas bertujuan untuk mencabar status quo undang-undang dan politik Baitulmaqdis dan Al-Haram Al-Sharif.

"Malaysia menggesa masyarakat antarabangsa supaya mendesak rejim Israel bertanggungjawab atas tindakan pencerobohan yang berterusan yang akan memburukkan lagi keadaan yang sudah parah di Wilayah Palestin Yang Diduduki (OPT).

"Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) mesti melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan oleh Piagam dan mengecam rejim, selain menghentikan serta-merta semua tindakan provokasi dan pencerobohan untuk keamanan dan kestabilan di rantau ini,” menurut kenyataan itu.

Malaysia terus berpegang teguh dengan pendiriannya bahawa rakyat Palestin berhak mendapat negara yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan sebelum 1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!