Bayi Maulidur Rasul lahir ketika dalam perjalanan pulang ke kampung
KUALA TERENGGANU - Seorang jururawat terpaksa menahan sakit bersalin selama hampir tiga jam di dalam kereta sebelum melahirkan bayi perempuan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini pada Rabu.
Mimi Azuani Mohd Lazim, 36 berkata, dia tidak menyangka anak ketiganya yang sepatutnya lahir pada 3 Oktober depan menjadi bayi pertama dilahirkan di Terengganu sempena Maulidur Rasul.
Menurutnya, dia mengalami kontraksi sekitar jam 4 petang ketika dalam perjalanan pulang dari Johor Bahru ke kampung halaman di Bachok, Kelantan sebelum memutuskan untuk berhenti di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).
"Ketika melalui LPT2 (Lebuhraya Pantai Timur 2) berdekatan Kijal, saya mula rasa sakit perut seolah-olah mahu buang air besar.
"Dalam keadaan cemas tu saya minta suami carikan tandas di R&R (Hentian Rehat dan Rawat) berdekatan, namun masih rasa sakit. Saya mula syak rasa sakit macam nak bersalin.
"Saya dah tak tahan sakit dan suami buat keputusan terus memandu ke HSNZ (Hospital Sultanah Nur Zahirah)," katanya ketika ditemui pemberita sempena program Permata Maulidur Rasul di Pusat Rawatan Ibu dan Bayi (PRIBA) di sini, pada Khamis.
Mimi Azuani memberitahu, sebaik tiba di HSNZ sekitar jam 6.50 petang dia terus dikejarkan ke bilik bersalin dan selamat melahirkan bayi perempuan seberat 3.4 kilogram (kg) sekitar jam 7.13 malam.
Sementara itu, suaminya, Mohd Faizul Abdul Hadi, 38, berkata, dia tidak pernah terfikir untuk berdepan situasi cemas itu kerana membayangkan isterinya akan melahirkan anak di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, Kelantan.
"Sebelum ni dua anak yang sulung sekarang dah umur 11 tahun dan yang kedua umur lapan tahun bersalin di HUSM dan berpantang di rumah keluarga di Bachok.
"Tak sangka pula anak ketiga kami ni nak lahir di Terengganu dan lahir pula sempena tarikh kelahiran junjungan mulia Baginda Nabi Muhammad SAW," katanya.
Seramai 59 bayi Maulidur Rasul iaitu 32 bayi lelaki dan 27 bayi perempuan dilahirkan di seluruh Terengganu bermula selepas waktu maghrib pada Rabu hingga jam 4 petang pada Khamis.
Daripada jumlah itu, 38 bayi dilahirkan di HSNZ, 10 bayi di Hospital Kemaman, Hospital Besut (enam), Hospital Dungun (tiga) dan Hospital Hulu Terengganu (dua).
Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri Terengganu, Maliaman Kassim berkata, kesemua bayi dilahirkan menerima sumbangan daripada kerajaan negeri berupa wang tunai RM100 dan hamper bernilai RM50.
Menurutnya, sumbangan melalui program Permata Maulidur Rasul itu telah pun bermula sejak 2013 bagi menghargai pengorbanan golongan ibu dalam melahirkan zuriat mereka.
"Pada program ziarah ibu-ibu bersalin di wad HSNZ bersama Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Datuk Dr Kasemani Embong ini, semua bayi dilahirkan sempena Maulidur Rasul berada dalam keadaan yang sihat.
"Apa yang saya rasakan istimewa kali ini ialah bilangan bayi lelaki lebih ramai berbanding bayi perempuan dan ia adalah luar daripada kebiasaan sepanjang kita menyambut kelahiran bayi sempena tarikh-tarikh istimewa dan bersejarah di Terengganu.
"Semoga semua sumbangan ini akan menceriakan lagi keluarga bayi bertuah Maulidur Rasul dan berharap semua bayi ini akan menjadi anak yang soleh dan solehah kepada ibu bapa mereka," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!