Amanah bantu BN menang PRK Pelangai - Mat Sabu
SHAH ALAM - Parti Amanah Negara (Amanah) akan menggerakkan jentera untuk memastikan kemenangan berpihak kepada Barisan Nasional (BN) ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai pada Oktober depan.
Presidennya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, mesyuarat Jawatankuasa Pimpinan Nasional Amanah telah membincangkan penyelarasan gerak kerja untuk membantu kemenangan calon BN di DUN berkenaan iaitu Datuk Amizar Abu Adam.
“Saya mengarahkan semua ahli mesyuarat untuk menggerakkan jentera Amanah dari seluruh negara untuk memastikan DUN Pelangai dipertahankan oleh BN.
“BN telah membuktikan setiakawan di PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram yang telah berjaya dimenangi oleh calon-calon dari Amanah,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Khamis.
Sinar Harian pada Khamis melaporkan, Amizar menggariskan strategi 3P iaitu pendapatan, perumahan dan penyediaan infrastruktur dalam usaha untuk memperkasa golongan belia.
Menurutnya, aspek pendapatan dan pekerjaan sedia ada perlu ditambah nilai sekali gus mewujudkan janaan ekonomi baharu di DUN berkenaan.
Dalam masa sama, Mohamad memaklumkan, mesyuarat yang diadakan itu mencipta sejarah baru apabila ia diadakan di bilik gerakan BN.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!