Pendaki hilang: Pencarian fokus kawasan cerun
IPOH - [DIKEMAS KINI] Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang pelancong dari India yang hilang sejak 22 September lalu ketika mendaki Gunung Jasar, Tanah Rata, Cameron Highlands diteruskan pada Jumaat.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria dalam satu kenyataan berkata, pencarian hari ini memfokuskan dalam radius lima kilometer, melibatkan kawasan denai iaitu tempat terlibat bermula di Gunung Jasar dan Kampar PAS menghala ke Bharat Tea.
Zufadli berkata, sasaran pencarian ialah sekitar 500 meter dari Gunung Jasar menggunakan sweeping kiri kanan denai secara menyeluruh.
Bagaimanapun, SAR yang mengandungi kekuatan lebih 70 anggota itu ditangguhkan petang Khamis dan perancangan operasi esok akan memfokuskan kawasan 500 meter dari puncak Gunung Jasar.
"Pencarian juga akan memfokuskan kawasan cerun dan ‘off trail’,” katanya.
Terdahulu Ketua Polis Daerah Cameron Higlands, Deputi Superintenden Azri Ramli dalam kenyataan memaklumkan, Nandan Suresh Nadkarni, 44, dilaporkan hilang selepas mendaki Gunung Jasar, Tanah Rata, Cameron Highlands sejak 22 September lepas.
Mangsa telah mendaftar masuk ke Hikers Sleep Port Guest House, Tanah Rata pada 19 September dan sepatutnya mendaftar keluar pada 24 September.
Hasil siasatan awal polis mendapati pada 22 September, mangsa telah keluar dari hotel seorang diri untuk melakukan aktiviti pendakian di trail 10 Gunung Jasar, Tanah Rata berdasarkan beberapa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang diperoleh di sekitar kawasan Tanah Rata.. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!