Terlepas emas jika kemenangan separuh akhir pertama tak batal - Shah Firdaus
PELUMBA berbasikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom percaya beliau boleh mencabar pingat emas Sukan Asia Hangzhou 2022 jika kemenangan terhadap wakil tuan rumah, Zhou Yu, pada saringan pertama separuh akhir acara pecut individu tidak dibatalkan.
Pada saingan di Velodrom Chunán Jeshou, di sini kemenangan pelumba berusia 27 tahun itu dibatalkan oleh komisar perlumbaan selepas Shah Firdaus memasuki lorong lawannya itu semasa pusingan akhir.
Pada saringan separuh akhir kedua, pelumba negara itu melakukan kesilapan apabila membenarkan Zhou Yu mendahului dengan melakukan kayuhan bertenaga untuk sampai ke garisan penamat dan mengesahkan tempat ke final.
"Saya agak sedih kerana tenaga amat baik sekali tetapi tersingkir selepas memenangi saringan pertama. Saya tidak tahu apa sebabnya...mereka kata terdapat sedikit sentuhan badan.
"Tetapi saya rasa itu perkara biasa...anda boleh dilihat trek itu agak sukar untuk dikendalikan. Semua pelumba melakukan perkara yang sama tetapi tiada apa kita boleh lakukan. Saya boleh mencabar pingat emas dan merangkulnya dengan mudah,” katanya dalam temu bual selepas saingan tersebut.
Shah Firdaus, yang memenangi gangsa acara pecut berpasukan pada edisi 2018 di Jakarta-Palembang, Indonesia, berkata beliau memutuskan untuk tidak bersungguh-sungguh mengejar Zhou You pada saringan kedua separuh akhir kerana mahu ‘menyimpan tenaga untuk penentuan pingat gangsa.Pada penentuan pingat gangsa, Shah Firdaus beraksi cemerlang untuk menewaskan pelumba tuan rumah, Xue Chenxi, 2-0, untuk meraih pingat sulungnya pada temasya Sukan Asia.
Pingat emas dalam acara itu dimenangi oleh Otai Kaiya dari Jepun yang menumpas Zhou Yu dalam dua pusingan di pentas akhir.
Sementara itu, pengurus pasukan skuad negara, Mohd Izham Mohamad, mengakui Shah Firdaus secara tidak sengaja memasuki laluan Zhou Yu pada pusingan akhir.
"Trek di sini agak keliru sedikit. Shah Firdaus tersilap masuk ke laluan pelumba China itu kerana agak sukar untuk kawal basikal ketika kelajuan tinggi.
"Ikut peraturan, kita tidak boleh masuk ke lorong lawan selepas mula pecutan, kalau tidak memang peluang tinggi untuk mara ke final,” katanya.
Esok, Shah Firdaus sekali lagi berpeluang untuk merangkul pingat apabila turun dalam acara keirin bersama-sama Muhammad Fadhli Zonis yang mengambil alih tempat yang ditinggalkan Datuk Azizulhasni Awang.
Azizulhasni, penyandang pingat emas acara pecut individu, terpaksa menarik diri daripada temasya itu selepas mengalami kecederaan susulan kemalangan ketika sesi latihan di Velodrom Nasional Nilai, Negeri Sembilan, dua minggu lalu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!