Emas bersejarah Qabil Ambak, Rosenstolz ceriakan kontinjen negara
EMAS bersejarah Mohd Qabil Ambak Mahamad Fathil dan kudanya, Rosenstolz menerusi acara dressage individu, menceriakan Kontinjen Malaysia pada hari kelima Sukan Asia.
Mohd Qabil, 43, yang membuat debut Sukan Asia pada edisi 1998 Bangkok, akhirnya menamatkan penantian emas sulung Malaysia dalam ekuestrian, dengan mengumpul keseluruhan 75.780 mata Pusat Ekuestrian Tonglu, sekali gus melengkapkan koleksi pingat selepas perak edisi 2018 di Jakarta-Palembang, serta gangsa Guangzhou 2010 dan Doha 2006.
Sementara itu, atlet berbasikal trek kebangsaan Muhammad Shah Firdaus Sahrom yang hadir tanpa jaguh negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang yang cedera, mengalas tanggungjawab itu dengan baik untuk merangkul gangsa acara pecut lelaki, menewaskan pelumba tuan rumah Chenxi Xeu 2-0.
Pelumba berusia 27 tahun itu, mempunyai potensi untuk mempertahankan emas, yang dimenangi Mohd Azizulhasni pada edisi lepas, setelah beraksi cemerlang untuk menyingkirkan Shinji Nakano dari Jepun pada suku akhir.
Namun, kesilapannya memasuki lorong lawan menyebabkan separuh akhir pertama yang dimenanginya dibatalkan, menyaksikan pelumba Jepun, Kaiya Ota muncul juara acara itu selepas mengatasi pelumba China tersebut pada final.
Kem skuasy juga menghadirkan khabar gembira, apabila kedua-dua skuad lelaki dan wanita mara ke separuh akhir selaku juara kumpulan, untuk masing-masing bertemu India dan Korea Selatan esok.
Pasukan hoki lelaki meneruskan rentak cemerlang dengan membelasah Indonesia 9-2 pada aksi Kumpulan B, selepas membenam Thailand 9-0 dan Oman 11-1.
Sementara itu, skuad badminton yang hadir ke Hangzhou dengan sasaran satu emas menerusi acara berpasukan lelaki, menghampakan harapan penyokong apabila tewas 1-3 kepada Korea Selatan pada pusingan 16 terakhir, yang juga aksi pembukaan mereka.
Pemain perseorangan Lee Zii Jia dan Ng Tze Yong serta beregu Ong Yew Sin-Teo Ee Yi mempamerkan aksi merisaukan, apabila gagal menyumbangkan mata, dengan hanya bekas juara dunia Aaron Chia-Soh Wooi Yik mencatatkan kemenangan.
Bagaimanapun, kem badminton negara mampu mengubah nasib mereka apabila turun beraksi dalam acara individu (perseorangan dan beregu), bermula Isnin ini.
Walaupun cuaca di Hangzhou mula panas dengan suhu mencecah lebih 30 darjah Celsius berbanding sekitar 22 darjah Celsius pada minggu lepas, Kontinjen Malaysia dilihat masih belum panas.
Malaysia menduduki tempat ke-14 pada carta pingat selepas meraih dua butir emas, dua perak dan lima gangsa setakat malam ini, manakala China terus gah dengan kutipan 90-51-26, termasuk 14 emas pada hari ini sahaja.
Kontinjen negara berpontensi untuk meningkatkan kutipan pingat menerusi sepak takraw, apabila turun beraksi menentang juara bertahan Thailand dalam acara regu berpasukan, selain berbasikal trek dengan Muhammad Shah Firdaus beraksi dalam keirin lelaki.
Tumpuan juga terarah ke Stadium Pusat Sukan Olimpik Hangzhou, apabila olahraga membuka tirai dengan jaguh pecut Muhammad Azeem Mohd Fahmi dan Umar Osman, masing-masing turun beraksi dalam pusingan pertama acara 100m dan 400m lelaki. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!