'Sudah 18 tahun tumpang rumah mak'
BENTONG - Terpaksa menumpang duduk serumah dengan ibu bapa, atau berhijrah ke luar daerah demi kehidupan yang lebih selesa.
Itu luahan penduduk di penempatan Felda di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai khususnya golongan generasi kedua dan ketiga yang mahu hasrat mereka untuk memiliki kediaman sendiri di kawasan itu direalisasikan.
Penduduk Felda Chemomoi, Jumizah Zainal, 39, berkata, dia kini tinggal bersama orang tua sejak 18 tahun lalu disebabkan isu penempatan untuk generasi kedua yang masih belum selesai.
Menurutnya, adik-beradiknya yang lain kini berhijrah ke luar daerah memandangkan tiada penempatan untuk mereka selain mendapat peluang pekerjaan yang lebih baik.
"Saya menumpang dengan mak dari anak sulung kecil sampai umur 18 tahun, anak saya pun dah empat orang.
"Setahu saya dah ada rancangan projek dan tapak khas untuk projek rumah rumah generasi kedua. Tapi sampai sekarang tiada perkembangan.
"Jadi saya harap projek tu dipercepatkan dan dapat selesaikan masalah kami generasi kedua di sini yang tak ada rumah sendiri," katanya kepada Sinar Harian.
Bagi penduduk Felda Sungai Kemahal, Ismahazir Mohamad, 42, apa yang diharapkan adalah projek perumahan berkelompok dan perkara itu sememangnya dalam perbincangan bersama Pertubuhan Kami Anak Felda dan Majlis Belia Felda Malaysia.
Katanya, isu perumahan telah dibangkitkan sejak sekian lama dan setiap kali pilihan raya namun masih belum diselesaikan.
"Ini isu yang paling sensitif bagi saya. Masalah perumahan ni dah terlampau lama...mungkin ini disebabkan pengurusan atasan yang sering bertukar, jadi apa yang diputuskan oleh pihak atasan tak boleh diteruskan bila tukar kepimpinan.
"Memang harap dipercepatkan kerana dalam Pelangai ini kebanyakan kerja sendiri, ada juga yang kerja luar pun berulang alik dalam masa 30 minit hingga sejam," katanya.
Seorang lagi generasi kedua Felda, Fadzia Zakaria, 57, menyifatkan keperluan rumah dianggap terdesak bagi golongan seperti mereka.
"Memang satu harapan tinggi buat kami jika masalah rumah buat generasi kedua diatasi segera.
"Buat masa ini, masih banyak anak-anak yang terpaksa menumpang rumah keluarga masing-masing," katanya.
Sementara itu, generasi ketiga di Felda Kemahal, Saiful Anuar, 40, juga menyuarakan perkara sama kerana rumah adalah perkara yang amat diperlukan.
"Sehingga kini masih belum ada projek perumahan khususnya buat generasi kedua dan seterusnya untuk Felda Sungai Kemahal," katanya.
DUN Pelangai meliputi tiga penempatan Felda iaitu Felda Chemomoi, Felda Kemasul dan Felda Kemahal.
Berdasarkan rekod daftar pemilih Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) terdapat 7,983 pengundi bagi ketiga-tiga Felda tersebut berbanding 16,456 pengundi keseluruhannya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!