'Saya lawan jika Pas sembunyi ‘kartel dedak’ bawah ‘karpet’'
KUALA LUMPUR - Yang Dipertua Pas Sungai Buloh, Zaharudin Muhammad berikrar akan terus bersuara berkenaan ‘kartel dedak’ sekiranya Pas terus menyembunyikan isu itu di bawah ‘karpet’.
Menantu kepada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu berkata, beliau berharap kes yang mendapat perhatian pucuk pimpinan Pas itu dapat menyelesaikan pendedahan yang dibuatnya.
“Semoga dapat diselesaikan secara tertutup. Tetapi jika ada usaha untuk simpan bawah karpet, Insya-ALLAH saya akan lawan.
“Semoga berlaku perbincangan sihat dan ilmiah untuk menentukan sesuatu sikap dan pendirian,” katanya melalui kenyataan di Facebooknya hari ini.
Dalam pada itu Zaharudin meminta Jawatankuasa Tatatertib dan Disiplin memperbetulkan tiga persepsi negatif yang berunsur fitnah terhadap dirinya.
“Tolong betulkan persepsi fitnah mengatakan Pas, Abdul Hadi dan MSU setuju ambil dedak; fitnah kata saya lawan Tok Guru sebab Tok Guru setuju dengan dedak dan saya lawan dedak; fitnah kata saya rakan audio YBNA, sebarkan dan serah kepada Sarawak Report,” katanya.
Zaharudin sebelum ini menamakan individu terlibat dengan kumpulan ‘kartel dedak’ sebagai Dr Husam II (kepala nombor 1), Mr NT, Mr KT, Mr KH dan nama terakhir sebagai 'semua dah tahu'.
Zaharudin menjelaskan tujuan pendedahan tersebut adalah untuk mengelakkan perbuatan mendedak ini terpalit kepada Abdul Hadi, Majlis Syura Ulama dan Pas Pusat.
Abdul Hadi kemudiannya menafikan bahawa beliau merestui pendedahan yang dibuat oleh menantunya itu.
Beliau menjelaskan, pendedahan ‘kartel dedak’ yang dibongkarkan itu ialah ‘filem lama yang sengaja ditayangkan semula.
Rentetan itu, Pas melarang semua ahlinya dari membawa, membincangkan dan membahaskan sebarang isu melibatkan urusan Parti di dalam semua bentuk media, sama ada media cetak mahupun media elektronik, termasuklah semua media sosial dan sebarang bentuk siaran luar yang bukan daripada saluran Parti.
Ironinya larangan berkenaan dikeluarkan Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan selang beberapa hari selepas pendedahan yang dibuat Zaharudin.
Namun begitu, Zaharudin menyedari amaran tersebut adalah buat dirinya dan beliau bersedia sekiranya dihadapkan ke Jawatankuasa Tatatertib dan Disiplin parti.
“Alhamdulillah jika Jawatankuasa Tatatertib dan Disiplin mula bersidang isu ini. Saya dah tunggu peluang ini cukup lama,” tulis Zaharudin di Facebooknya sebelum itu.
ARTIKEL BERKAITAN: Kartel dedak: Zaharudin sedia hadapi Jawatankuasa Disiplin Pas
Abdul Hadi nafi restu menantu dedah 'kartel dedak'
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!