Perhebat Skim Perubatan Madani dalam Belanjawan 2024 - Persatuan
KUALA LUMPUR - Persatuan berkaitan penjagaan kesihatan berharap kerajaan akan memperuntukkan lebih banyak dana untuk mengembangkan lagi Skim Perubatan Madani serta meningkatkan pencegahan penyakit tidak berjangkit (NCD) di bawah Belanjawan 2024.
Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr Azizan Abdul Aziz berkata, skim tersebut membantu mengurangkan kesesakan sistem penjagaan kesihatan awam menerusi kerjasama dengan klinik pengamal perubatan (GP) swasta dan wajar diperluaskan untuk pengurusan NCD.
Dr Azizan berkata, NCD telah menjadi kebimbangan pada peringkat nasional, justeru, pihaknya berharap lebih banyak peruntukan bagi memperhebat langkah-langkah pencegahan NCD termasuk dana untuk menyokong program pendidikan kesihatan dan kempen kesedaran kepada orang awam di sekolah dan peringkat komuniti.
"Kerajaan harus memanfaatkan 13,000 GP swasta di seluruh negara dalam usaha ini.
Melibatkan semua pihak berkepentingan dari peringkat perancangan mesti diberi keutamaan, demi kejayaan pelaksanaan mana-mana inisiatif awam-swasta.
"Sebagai sebahagian usaha negara untuk mencegah kes obesiti dan kencing manis, cukai pada produk makanan dan minuman tinggi gula wajar dinaikkan dengan hasil yang dikutip disalurkan kepada rawatan penyakit berkaitan pengambilan gula tinggi," katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Kajian Obesiti Malaysia (MASO), Dr Geeta Appannah berharap, peruntukan penjagaan kesihatan bagi Belanjawan 2024 memberi keutamaan kepada penyelidikan mengenai obesiti, bagi memastikan individu mendapat manfaat daripada intervensi yang berkesan.
Beliau berkata, kajian mengenai intervensi obesiti dan bidang-bidang prospektif sangat kurang ketika ini dan patut dijalankan, memandangkan kebanyakan penyelidikan adalah kajian keratan rentas namun masih gagal mencari punca sebenar obesiti.
Selain meningkatkan risiko beberapa penyakit serta kematian, beliau berkata, obesiti menurunkan kualiti hidup dan jangka hayat, selain turut meningkatkan kos penjagaan kesihatan individu dan negara.
"... berita baiknya ialah kehilangan berat badan boleh menyekat risiko berkaitan obesiti.
Bagaimanapun, lebih banyak usaha diperlukan untuk meningkatkan kesedaran dan pendidikan mengenai kegemukan dalam negara dan usaha ini perlu penglibatan semua kumpulan umur.
"Peruntukan tambahan dalam bidang kesihatan awam untuk memperkasa rakyat dan komuniti untuk mengambil tindakan terhadap obesiti adalah permulaan yang baik, bagaimanapun perlu ditekankan bahawa kesedaran sahaja tidak boleh menurunkan prevalens obesiti, memandangkan ia hanya menjawab satu bahagian daripada kerumitan obesiti," katanya.
Pada 8 September lepas, Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni berkata, 73 peratus kematian di negara ini berpunca daripada NCD, dengan separuh daripada rakyat Malaysia tidak menyedari bahawa mereka menghidap penyakit tersebut yang membawa kepada risiko komplikasi lebih tinggi jika tidak diberi rawatan awal.
Menurut Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2019, satu daripada dua orang dewasa mempunyai berat badan berlebih atau obes, dengan prevalens lebih tinggi dalam kalangan wanita iaitu 54.7 peratus, dan individu berumur 55 hingga 59 tahun pada 60.9 peratus.
Kajian itu turut menemukan bahawa satu daripada tiga rakyat Malaysia mempunyai celik kesihatan yang rendah yang dibuktikan oleh gaya hidup tidak sihat dan tidak aktif, tidak makan buah dan sayur secukupnya serta merokok.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPPKAM), Datuk Dr Zainal Ariffin Omar menyarankan supaya kerajaan menyuruh majikan menyediakan pakej pemeriksaan kesihatan berkala kepada pekerja mereka.
"Belanjawan 2024 patut memasukkan insentif penjagaan kesihatan yang memudahkan pekerja melakukan pemeriksaan (kesihatan) berkala, kekal sihat dan mempunyai jaringan keselamatan yang baik," katanya.
Sektor kesihatan menerima peruntukan kedua terbesar iaitu RM36.3 bilion dalam Belanjawan 2023 dan Skim Perubatan Madani menerima peruntukan RM100 juta. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!