Warga Indonesia maut insiden runtuhan struktur rumah
KOTA TINGGI - [DIKEMAS KINI] Seorang lelaki warga Indonesia maut manakala rakannya cedera dalam insiden runtuhan struktur rumah di Felda Papan Timur, di sini, pada Khamis.
Menurut Pegawai Bomba Kanan II Mohd Hazmi Zulkifli dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP), Bandar Penawar, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai insiden berkenaan melalui talian MERS999 pada 2.42 petang, Khamis.
Katanya, sejurus menerima panggilan tersebut, dua jentera dari dari BBP Penawar dengan sembilan anggota bomba dihantar ke lokasi.
"Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di lokasi didapati berlaku kemalangan di tempat kerja berpunca akibat runtuhan struktur rumah ketika kerja-kerja pembaikan dilakukan.
"Terdapat dua mangsa terlibat dalam insiden ini. Seorang mangsa yang mengalami kecederaan telah dihantar ke Klinik Kesihatan Bandar Mas bagi mendapatkan rawatan sementara seorang lagi mangsa tersepit di dalam runtuhan bangunan tersebut.
"Mangsa tersepit berjaya dikeluarkan oleh PKO dengan bantuan jengkaut milik orang awam namun disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang turut berada di lokasi," katanya.
Mangsa yang meninggal dunia kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Operasi ditamatkan pada jam 4.58 petang Khamis.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora mengesahkan menerima laporan mengenai perkara berkenaan pada Khamis.
"Polis juga telah membuka kertas siasatan dan laporan mati mengejut," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!