Caj transaksi QR DuitNow: PayNet beri penjelasan

PayNet, pengendali DuitNow QR pada Khamis mengesahkan akan mengenakan caj transaksi kepada pengguna aplikasi tersebut berkuat kuasa 1 November depan.
PayNet, pengendali DuitNow QR pada Khamis mengesahkan akan mengenakan caj transaksi kepada pengguna aplikasi tersebut berkuat kuasa 1 November depan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pada 26 September 2023, beberapa media dalam talian dan arus perdana telah membuat liputan mengenai sebuah institusi perbankan tempatan yang memaklumkan pelanggannya mengenai pengenaan yuran transaksi untuk pembayaran DuitNow QR dan transaksi yang dibuat dengan kad kredit berkuat kuasa 1 November 2023.

Berita itu turut memetik beberapa bank kononnya tidak tahu menahu perkara ini.

Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet), pengendali DuitNow QR, terpanggil mengeluarkan penjelasan ini untuk memastikan fakta mengenai perkara ini dicerminkan dengan betul dan tepat serta difahami dengan jelas.

Kebimbangan dibangkitkan mengenai kesan yuran yang bakal dikenakan ke atas peniaga dan impak kepada harga barangan dan perkhidmatan boleh difahami.

Walau bagaimanapun, terdapat beberapa kekeliruan yang perlu dijelaskan.

Liputan tersebut telah secara tidak tepat menggambarkan dua jenis e-pembayaran yang berbeza sebagai satu yang sama:

• Satu sebenarnya berkenaan e-pembayaran yang dibuat oleh pelanggan kepada mana-mana peniaga.

Ini biasanya dikenakan kadar diskaun pedagang atau ‘merchant discount rate’ (MDR) yang dicaj berdasarkan peratusan nilai transaksi pembayaran.

Artikel Berkaitan:

Seorang peniaga akan menerima bayaran yang dibuat oleh pelanggan mereka selepas ditolak MDR.

Pada masa ini pembayaran kad debit dan kredit dikenakan MDR manakala terdapat penepian (‘waiver’) MDR pada pembayaran QR. Mulai 1 Oktober 2023, penepian MDR untuk pembayaran QR DuitNow ini akan ditarik balik.

• Sebaliknya, yuran 50 sen untuk urus niaga melebihi RM5,000 yang dinyatakan dalam berita tersebut adalah sebenarnya untuk pemindahan dana rakan-ke-rakan’ atau ‘peer-to-peer’ daripada QR peribadi ke QR peribadi lain, bukan pembayaran kepada peniaga.

Ini sama sekali tidak berkaitan dengan pembayaran QR kepada pedagang tersebut dalam perenggan di atas dan kedua-dua yuran tidak akan dikenakan untuk transaksi yang sama dalam apa-apa situasi.

Untuk jenis pembayaran pertama yang disebut di atas, MDR terkumpul akan dikongsi antara PayNet dan bank pemeroleh yang berkaitan atau pemeroleh pihak ketiga.

Ia adalah untuk menampung penyelenggaraan rangkaian kami serta kos ditanggung oleh bank dan pemeroleh pihak ketiga untuk memperoleh penyertaan peniaga untuk menikmati perkhidmatan yang berharga ini.

Sebagai insentif galakan penggunaan ketika tempoh pengenalan pembayaran QR pada 2019, MDR telah diketepikan.

Penepian ini dilanjutkan lagi berikutan penularan wabak Covid-19.

Ia bukanlah suatu yuran baru mahupun caj tambahan.

Sebaliknya, 1 Oktober 2023 adalah permulaan kepada penamatan penepian MDR yang sepatutnya dilakukan lebih sembilan bulan yang lalu.

Dana rizab bakal diwujudkan dengan MDR yang dikutip oleh PayNet untuk memberi insentif kepada pemeroleh supaya tidak mengenakan sebarang MDR kepada para peniaga kecil.

Walaupun PayNet tidak berada dalam kedudukan untuk menentukan harga pasaran yang dikenakan kepada peniaga, beberapa bank pemeroleh dan pemeroleh pihak ketiga berhasrat untuk sama ada terus menangguhkan pengenaan MDR atau menyerapnya untuk peniaga kecil.

Dalam hal ini, peniaga perlu menyemak dengan bank atau pemeroleh pihak ketiga mereka untuk perkara ini.

Caj 50 sen adalah untuk pemindahan dana melebihi RM5,000 menggunakan QR DuitNow peribadi.

Adalah tidak tepat untuk menyatakan caj 50 sen dikenakan kepada pembayaran yang dibuat kepada peniaga.

Adalah turut tidak tepat untuk menyatakan bahawa MDR dicaj untuk pemindahan dana menggunakan QR peribadi.

Berkaitan kebimbangan bahawa kos MDR akan dipindahkan kepada pengguna, PayNet ingin menjelaskan pembelian menggunakan kad kredit dan debit sudahpun tertakluk kepada MDR.

Produk dan perkhidmatan yang dibeli dengan kad kredit atau debit adalah pada harga yang sama dengan pembelian tunai.

Oleh itu, kami menjangkakan perkara yang serupa dan tidak menjangkakan harga barangan dan perkhidmatan akan terjejas oleh pembelian menggunakan DuitNow QR selepas MDR dikenakan.

Berkaitan dakwaan bahawa urus niaga secara tunai adalah percuma, PayNet ingin menjelaskan bahawa kajian oleh Roubini Thoughtlab pada 2018 mengesahkan bahawa tanggapan ini jauh tersasar kerana anggaran faedah dari tanpa penggunaan tunai kepada para perniagaan jauh melebihi kos.

Manfaat bersih terkumpul 15 tahun (2017-2032) dianggarkan sekitar ASD$4.2 bilion natijah penjimatan daripada pengurangan kerja manual dan faedah dari e-pembayaran (iaitu peningkatan faedah/kadar keuntungan bank yang diperoleh, tiada penyesuaian (rekonsiliasi) manual, tiada kerugian berkaitan kekurangan, pengurangan keperluan pekerja dan penjimatan daripada mengendalikan wang tunai).

PayNet terpanggil mengeluarkan kenyataan ini kerana sebarang perbincangan atau dialog mengenai perkara ini harus berteraskan pemahaman yang tepat, betul dan termaklum sepenuhnya berasaskan fakta sahih yang mencerminkan keadaan dan cara sebenar bagaimana industri pembayaran digital beroperasi.

Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) ialah rangkaian pembayaran infrastruktur berpusat bagi pasaran kewangan yang terulung di Malaysia. Kami mempelopori inovasi serta membina dan mengendalikan sistem pembayaran dan infrastruktur pasaran kewangan bertaraf dunia yang membolehkan pelaksanaan dan pembangunan sistem kewangan dan juga ekonomi keseluruhan Malaysia secara selamat, cekap dan boleh dipercayai. - Bernama

Sumber: Payments Network Malaysia (PayNet)

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!