Tiga lelaki didakwa edar lebih 26kg dadah
IPOH - Tiga sekawan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh pada Jumaat atas tuduhan mengedar dadah berbahaya seberat 26.2 kilogram minggu lalu.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada M Thinesh, 21, M Vikneswaran, 25, dan M Thinesh Kumar, 26, selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret S Punitha.
Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh didakwa telah mengedar dadah jenis ketamin seberat 26.178kg di tepi jalan susur keluar sebelah kanan sebuah stesen minyak di Jalan Gopeng, Kampung Gunung Rapat dekat sini, sekitar jam 9.15 malam pada 20 September lalu.
Pertuduhan yang dibacakan secara bersama itu dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dihukum mati, boleh dihukum tidak kurang 12 sebatan jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Hidayu Zakaria manakala kesemua tertuduh diwakili peguam RR Segaran.
Mahkamah menetapkan 26 Disember depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan Polis Perak menahan lima sekawan yang disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah sekitar Ipoh.
Serbuan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh itu berjaya merampas dadah bernilai RM1.57 juta.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!