Dua lelaki Indonesia bersama 7 rakan dituduh culik wanita, minta tebusan
GEORGE TOWN - Lapan lelaki termasuk dua warga Indonesia dan seorang wanita dituduh di Mahkamah Masjistret Jenayah di sini kerana menculik seorang wanita Indonesia pada 7 September lalu.
Kedua-dua mereka, Agong Laksono, 29, dan Yusuff Bahtiar, 33, dituduh melakukan kesalahan itu bersama tujuh rakan mereka iaitu Mohamad Noor Shahrizuan Hashin (37), Tan Gim Chun( 35), C Youganathan (32), Elaine Gooi Swee May( 33), Lok Wai Lun (39), Haffizan Samsudin (39) dan Noorazlin Mat Kasa (41).
Mengikut pertuduhan, kesemua mereka didakwa telah menculik seorang wanita Indonesia, Fadilah Fauziah di sebuah rumah di Pangsapuri Sri Aman, Paya Terubong pada jam 7 pagi, 7 September lalu.
Mereka dituduh melakukan kesalahan itu dengan tujuan menuntut wang tebusan sebanyak RM540,000.
Oleh demikian, kesemua tertuduh didakwa telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961(Akta 365) dan dibaca bersama-sama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, semua tertuduh boleh dihukum penjara tidak kurang 30 tahun tetapi tidak melebihi 40 tahun dan sebatan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, M Darrshini dihadapan Hakim Nadratun Naim Mohd Saidi.
Darrshini bagaimanapun meminta mahkamah supaya tidak menawarkan jaminan terhadap kesemua tertuduh dan mahkamah telah membenarkan permohonan berkenaan.
Kes ditangguh sehingga 11 Disember untuk sebutan semula dan menunggu laporan perubatan serta dokumen-dokumen berkaitan.
Kesemua tertuduh diwakili peguam, Chiang Kian Hong.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan seorang wanita Indonesia berhadapan detik hitam apabila diculik, dikurung dan didera selama 10 hari oleh sekumpulan penjenayah di beberapa lokasi di beberapa negeri termasuk Pulau Pinang.
Mangsa yang berasal dari Medan itu diculik oleh tiga lelaki ketika datang bercuti bersama tiga rakan wanita di negeri ini.
Mangsa berusia 36 tahun itu diculik di Paya Terubong sebelum dibawa ke Butterworth, Puchong dan Shah Alam sebelum berjaya diselamatkan.
Mangsa ditemui dalam keadaan cedera di seluruh badannya yang mana, dia dipercayai diikat, dicucuh dengan puntung rokok, dicucuk dengan jarum pada kukunya, dipukul, tangan dan kaki diikat pengikat kabel (cable tie) selain mangsa turut dirantai.
Mangsa diculik pada 7 September dan berjaya diselamatkan 10 hari kemudian oleh sepasukan polis dalam Op Scorpion Rantai Penang selepas suaminya membuat laporan polis pada 15 September lalu.
Susulan daripada itu, polis menahan 14 orang suspek termasuk dua lelaki warga asing di beberapa lokasi di Selangor, Perak dan Kuala Lumpur.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!