772 terima darjah kebesaran sempena Hari Keputeraan Sultan Kelantan
KOTA BHARU - Seramai 772 individu bakal menerima pengurniaan Kehormatan Gelaran-gelaran, Darjah-darjah Kebesaran, Bintang- bintang, Pingat-pingat dan Surat Kepujian sempena Hari Keputeraan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V ke-54 tahun ini.
Istiadat akan berlangsung di Istana Balai Besar Kota Bharu di sini pada jam 9 pagi Sabtu.
Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Nazran Muhammad berkata, menjunjung titah perintah dan limpah kurnia Sultan Muhammad V turut akan melantik enam individu menjadi Jaksa Pendamai sempena perayaan ulang tahun pada tahun ini.
“Baginda perkenan mengurniakan satu gelaran pengurniaan Dato’ Bergelar dan 354 bagi Darjah Kebesaran termasuk kepada 38 individu yang membawa gelaran Datuk.
“Turut akan menerima Bintang-bintang seramai 234 orang dan Pingat-pingat berjumlah 183 orang,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Sultan Kelantan, Istana Balai Besar di sini, pada Jumaat.
Hadir sama, Pengelola Istana D'Raja Kelantan, Datuk Nik Mohd Shafriman Nik Hassan dan Ketua Istiadat Kelantan, Mejar Jeneral (B) Datuk Mamat Ariffin Abdullah.
Beliau berkata, Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran dan Pingat-pingat negeri Kelantan tersebut akan diadakan dua sesi.
“Sesi pertama melibatkan 98 penerima bermula esok.
“Sesi kedua pula akan diadakan pada satu tarikh yang diperkenankan oleh Sultan Muhammad V dan akan dimaklumkan kemudian,” katanya.
Perayaan menyambut Hari Keputeraan Sultan Kelantan dirangka meliputi istiadat dan susunan seperti Majlis Solat Hajat dan Doa Selamat di Masjid Muhammadi Kota Bharu dan semua masjid-masjid daerah bermula pada Khamis.
Turut diadakan Istiadat Pemeriksaan Barisan Kehormat di Padang Merdeka, Kota Bharu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!